fbpx

Mohon maaf jalan penyelesaian terbaik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
FARID AHMAD TARMIJI, WARTAWAN EKSEKUTIF.

MUTAKHIR ini, penulis melihat banyak rakaman video mengenai kejadian perselisihan faham dan pergaduhan tular di media sosial.

Baru-baru ini juga tular di media sosial video pergaduhan kecil melibatkan seorang pengguna jalan raya yang mengeluarkan kata-kata kesat kepada seorang pemandu lain hanya kerana kenderaan mereka hampir bertembung dan berlanggar.

Selain itu, beberapa hari lalu, seorang lelaki dilaporkan patah tujuh gigi dan cedera pada kepala serta tangan apabila dibelasah gara-gara menegur cara pemanduan pemandu kenderaan lain yang didakwa berbahaya.

Banyak lagi kejadian yang berlaku sejak kebelakangan ini sehingga membawa kepada pertengkaran dua pihak.

Masalah hanya berpunca daripada konflik kecil, namun tidak ditangani secara baik oleh kedua-dua pihak sehingga mendorong berlakunya pertengkaran atau pergaduhan antara mereka.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Norulhuda Sarnon@Kusenin berkata, meminta maaf adalah antara tindakan paling berkesan untuk mengurus atau menyelesaikan konflik yang sedang berlaku antara dua pihak.

Menurut beliau, lazimnya apabila berlaku sesuatu konflik dan pesalah itu ditegur atau dimarahi oleh seseorang, dia tidak akan nampak kesan baik untuk memohon maaf, sebaliknya dipengaruhi oleh emosi seperti malu atau marah dengan kejadian tersebut.

“Ketika itu, kesan emosi yang dialami mereka mendominasi sehingga tidak mampu berfikir untuk mengambil tindakan dengan lebih rasional.

“Mereka enggan meminta maaf kerana tidak mahu imej diri tercemar, justeru mereka ini lebih bersifat defensif iaitu mempertahankan diri,” katanya.

Norulhuda Sarnon membe­ritahu, penjelasan tentang siapa yang salah atau benar selalunya tidak mendatangkan hasil, sebaliknya satu pihak perlu menjadi pendengar supaya pihak yang lain kembali tenang.

“Kenyataannya, meminta maaf boleh menenangkan suasana, meningkatkan rasa hormat individu terhadap orang yang meminta maaf, menghalang daripada berlakunya keganasan, meningkatkan empati dan kese­diaan untuk memaafkan.

“Kajian menunjukkan orang yang mudah meminta maaf memiliki personaliti kehematan dan kepersetujuan yang tinggi.

“Individu yang narsisistik iaitu sangat egosentrik dengan pandangan yang terlalu hebat mengenai diri mereka sendiri pula sukar meminta maaf,” ujarnya.

Menurutnya, ucapan maaf walaupun untuk perkara yang kecil tidak salah diamalkan asalkan tidak disertai dengan perasaan bersalah yang keterlaluan.

Dalam pada itu, pendakwah Ustaz Dr. Khalid Basalamah dalam satu syarahan agama pula menjelaskan, mereka yang bersalah seharusnya meminta maaf dan yang benar pula perlu memaafkan.

“Kita pasti punya salah, semua anak Adam pasti ada buat salah, tetapi sebaik-baik orang adalah yang mengakui salahnya.

“Jangan tunjukkan keegoan dan kita harus lapang dada dan meminta maaf kerana Allah suka orang yang berbuat kebaikan,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI