fbpx

Kartel projek RM3.8 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA SPRM membawa tujuh lelaki yang ditahan kerana disyaki memonopoli tender kerajaan bernilai RM3.8 bilion ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk perintah reman kelmarin.

PUTRAJAYA – Kegiatan haram sekumpulan tujuh lelaki terlibat dengan satu sindiket kartel projek-projek kerajaan bernilai RM3.8 bilion sejak 2014 terbongkar apabila semua mereka termasuk seorang ketua diberkas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.

Suspek-suspek berusia antara 33 hingga 47 tahun itu diberkas sekitar tengah malam kerana disyaki memonopoli 345 tender daripada beberapa kementerian dan agensi kerajaan di seluruh negara sejak tujuh tahun lalu.

Mereka ditahan selepas SPRM melakukan intipan dan pemantauan di pusat operasi sindiket itu di mana hampir keseluruhan ahli-ahli sindiket berkumpul untuk mengisi borang-borang tender.

Menurut sumber, serbuan itu telah mengejutkan semua yang hadir.

Katanya, ketua sindiket itu mengawal lebih 150 buah syarikat yang digunakan untuk memasuki tender atau sebut harga di kementerian dan agensi.

“Suspek membuka 150 syarikat dengan menggajikan ‘individu-individu’ sebagai pengarah syarikat yang mana sebenarnya dimiliki suspek sendiri.

“Tumpuan sindiket ialah terhadap projek penyelenggaraan fasiliti dan projek-projek pembangunan,” katanya.

Sumber menambah, sindiket itu dipercayai mendapat kerjasama ‘orang dalam’ untuk memastikan syarikat-syarikat di bawah kawalan beliau dibenarkan ma­suk tender dan memastikan salah satu daripadanya berjaya.

Menurut sumber, modus ope­randi kartel ialah menyogok orang dalam untuk mendapat maklumat berhubung spesifikasi, harga siling, harga jabatan, jumlah penyertaan, kelayakan syarikat dan masa sesuai untuk menghantar borang tender.

“Mereka menggunakan taktik ‘mengepung harga’ iaitu dengan menyertai sesuatu tender melalui sejumlah besar syarikat yang berada di bawah kawalan ketua sindiket,” katanya.

Ujar sumber, syarikat-syarikat terbabit akan memasuki tender mengikut harga yang berbeza-beza berdasarkan harga siling yang ditetapkan.

Menurutnya, hasil risikan yang dijalankan juga mendapati sindiket itu telah menggunakan nama beratus individu untuk membuka syarikat-syarikat di bawah naungannya.

“Setiap individu akan dibayar gaji bulan dan komisen sebagai imbuhan bagi penggunaan nama dan butir-butir peribadi.

“Dipercayai butir-butir kelayakan akademik dan kelayakan profesional bagi kebanyakan penama yang digunakan untuk menubuhkan syarikat adalah palsu,” katanya.

Tambahnya, setiap syarikat juga dikatakan menggunakan penyata kewangan palsu untuk melayakkan mereka memasuki tender sebut harga berkenaan.

Kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya di sini semalam bagi direman mengikut seksyen 17 dan 18 Akta SPRM.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, mengesahkan tangkapan itu dan memberitahu lebih ramai lagi akan ditahan. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI