fbpx

Kanak-kanak bawah 7 tahun tidak digalakkan dibawa ke masjid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Halim mengambil peluang menyampaikan buku Covid-19 Melanda Negara dan Dunia yang akan dilancarkan pada Muzakarah Majlis Kebangsaan 9 April ini kepada salah seorang pengamal media di Pejabat Jabatan Mufti Negeri Melaka, di sini, hari ini.

MELAKA – Ibu bapa atau penjaga tidak digalakkan untuk membawa kanak-kanak berusia tujuh tahun ke bawah untuk mengikuti aktiviti-aktiviti di masjid dan surau sepanjang bulan Ramadan yang akan disambut umat Islam pada minggu hadapan.

Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, keputusan itu dibuat bagi memberi keselesaan kepada para jemaah dan mengutamakan keselamatan kanak-kanak tersebut.

“Kanak-kanak berusia tujuh tahun ke atas dibenarkan untuk mengikuti aktiviti yang diadakan di masjid atau surau termasuklah solat Jumaat, solat tarawih, majlis tadarus dan sebagainya.

“Bagaimanapun, ibu bapa tidak digalakkan untuk membawa anak-anak kecil di bawah umur tujuh tahun bagi memberikan keselesaan dan ruang kepada para jemaah lain, selain bagi menjaga keselamatan anak itu sendiri,” katanya pada satu sidang akhbar di Pejabat Jabatan Mufti Negeri Melaka, di Kampung Bukit Baharu, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Md. Azhan Samat.

Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata, seperti diumumkan oleh kerajaan persekutuan yang membenarkan solat tarawih bermula 13 April ini, kerajaan negeri juga bersetuju membenarkan semua aktiviti di masjid dan surau bagi mengimarahkan bulan Ramadan.

“Solat tarawih boleh dilaksanakan lapan atau 20 rakaat dan diakhiri solat witir. Namun, pelaksanaan solat ini digalakkan dilakukan secara ringkas termasuklah dalam pemilihan surah dan bacaan doa.

“Jamuan berbuka puasa, sahur dan moreh di masjid serta surau dibenarkan, namun makanan itu mestilah dihidangkan secara bufet atau digalakkan dibungkuskan. Makan secara di dalam dulang atau talam adalah tidak dibenarkan,” katanya.

Tambahnya, aktiviti yang melibatkan bermalam di masjid atau surau juga tidak dibenarkan.

“Majlis-majlis lain seperti, khatam al-Quran, tazkirah, aktiviti iktikaf dan qiyamullail dibenarkan, namun ia mestilah bergantung kepada kebijaksanaan pihak pengurusan untuk menjalankan dalam tempoh masa yang munasabah serta bersesuaian.

“Warga asing bagaimanapun masih tidak dibenarkan mengikuti aktiviti di masjid dan surau,”katanya.

Katanya, semua aktiviti mengimarahkan itu perlu dilakukan mengikut prosedur operasi standard dan pengekalan jarak satu meter.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI