DALAM perhubungan percintaan kadangkala kekurangan yang ada pada pasangan bukanlah satu perkara yang dapat menghalang dua insan daripada terus bersama.
Itulah apa yang dirasai seorang wanita yang mahu dikenali sebagai Yati sewaktu menjalinkan hubungan cinta dengan suaminya pada awal perkenalan mereka.
“Sewaktu saya mengenali suami, dia bukanlah seorang yang berpendidikan serta senang. Dia hanya bekerja biasa tanpa pekerjaan tetap tetapi saya tertarik dengan sikapnya yang melayan saya dengan baik.
“Apa yang saya boleh sifatkan hubungan kami pada ketika itu bagaikan dua darjat atau ‘tidak sekufu’. Rezeki saya dalam pekerjaan lebih baik berbandingnya dan saya memiliki kerjaya yang boleh dikatakan amat baik,” katanya kepada K2.
Namun, Yati pada masa itu yang mempunyai taraf pendidikan agak tinggi tidak menjadikan kekurangan suaminya sebagai satu masalah dan dia sendiri sanggup memilih untuk berkahwin dengan lelaki tersebut biarpun pada awalnya dihalang keluarganya.
Baginya, rezeki seseorang tidak dapat diduga dan mungkin selepas mereka berkahwin, rezeki suaminya akan dimurahkan dan mendapat kerja yang lebih menjamin masa depan mereka sekeluarga.
Yati menegaskan, perbelanjaan untuk perkahwinan mereka berdua juga kebanyakan ditanggung oleh dirinya.
Selepas berkahwin, dia juga yang menyediakan rumah untuk mereka berteduh.
“Pada awal perkahwinan, semuanya baik sahaja. Ini mungkin kerana rasa cinta dan sayang antara satu sama lain begitu kuat pada masa itu.
“Pada mulanya, suami saya ada juga memberi sedikit wang untuk saya membeli bahan-bahan keperluan. Saya juga menyuruhnya mencari pekerjaan yang lebih stabil demi kami sekeluarga,” tegasnya.
Hari berganti hari, mereka kemudian dikurniakan seorang cahaya mata.
Apa yang membuat Yati terkilan ialah kos untuk kelahiran dan keperluan anak mereka itu hampir kesemuanya ditanggung sendiri.
Menurutnya, suaminya tidak berusaha untuk mencari wang dan seakan melepas tangan.
Setelah beberapa tahun berkahwin, suaminya masih sama tidak berusaha untuk mencari pekerjaan tetap sebaliknya hanya bekerja dengan rakannya dan pendapatan yang diperoleh juga tidak menentu.
Adakalanya Yati juga terpaksa menyara suaminya itu.
Yati kecewa kerana janji suaminya untuk berusaha mencari pekerjaan yang lebih baik selepas berkahwin hanyalah omongan kosong.
Dalam masa yang sama, dia juga penat untuk menguruskan rumah tangga karana faktor kerja.
Kadangkala dia pulang lewat malam kerana urusan kerja dan suaminya itu sering mempersoalkannya.
“Kami bergaduh kerana perkara ini sedangkan saya perlu keluar bekerja untuk mencari rezeki.
“Kami juga pernah bergaduh besar apabila dia menuduh saya mempunyai lelaki lain. Ini semua terjadi kerana ahli keluarganya ternampak saya sedang menikmati makan tengah hari dengan lelaki lain,” katanya.

Tambahnya, dia bertemu lelaki itu atas urusan kerja semata-mata dan Yati tidak pernah sesekali bermain kayu tiga di belakang suaminya.
Dia amat kecewa apabila dituduh sedemikian dan rasa kasih dan sayang terhadap suaminya semakin pudar.
Perkara yang sama berlarutan sehingga memasuki usia ulang tahun perkahwinan mereka yang ketujuh.
Suaminya masih sama dan langsung tidak berubah untuk meningkatkan taraf hidupnya dan terlalu bergantung kepada Yati.
Sejak dari itu, Yati mengakui dia semakin tawar hati terhadap suaminya.
“Saya sentiasa berdoa untuk suami saya berubah tetapi dia langsung tiada kesedaran untuk berbuat demikian.
“Mungkin ini disebabkan dia sudah rasa selesa di mana hidupnya sendiri banyak ditanggung oleh saya,” katanya.
Akhirnya Yati sendiri sudah hilang rasa kegembiraan dan kebahagiaan untuk bersama dengan suaminya itu.
Dia akhirnya mengambil keputusan untuk berpisah.
Sebelum berpisah, mereka berdua beberapa kali menghadiri sesi kaunseling bagi memperbaiki hubungan antara mereka.
Namun, sesi tersebut tidak berhasil dan Yati tetap dengan pendiriannya untuk berpisah.
Dia merasakan lebih gembira jika hidup tanpa suaminya itu dan Yati sendiri mempunyai kemampuan untuk membesarkan anak tunggal mereka.
Akhirnya persetujuan dicapai untuk mereka berpisah dengan baik di sebuah mahkamah syariah dengan hak penjagaan anak diberikan kepada Yati.
Tegas Yati, sekufu adalah sesuatu yang amat penting dalam perkahwinan.
“Sebenarnya tidak ada masalah untuk menerima lelaki yang memiliki kekurangan daripada seseorang wanita.
“Tetapi lelaki itu haruslah berusaha untuk memperbaiki kehidupannya dan bertanggungjawab sebagai ketua keluarga.
“Bukannya sekadar ingin mengambil kesempatan apabila mendapat isteri yang mempunyai taraf kewangan yang lebih baik,” katanya.














