fbpx
Toyota Corolla Cross direka lebih lebar dan lebih tinggi daripada Corolla sedan.

Corolla Cross ‘perkasa’ dan selamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LEGENDA Toyota Corolla bermula pada tahun 1966 selepas pengeluar kenderaan dari Jepun itu melancarkan kereta kompak dengan enjin berkapasiti 1,100cc.

Setelah hampir separuh abad diperkenalkan, pada bulan Julai tahun lalu Toyota telah memperkenalkan model Corolla versi kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipanggil Corolla Cross.

Dalam segmen SUV Toyota, Corolla Cross berada di antara model C-HR dan RAV4. Model baharu di bawah pendekatan Synergised Mobility itu menawarkan keselesaan dan fokus pemanduan.

Model ini dibina menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) iaitu struktur yang membolehkan kejuruteraan lebih anjal dilaksanakan serta beberapa lagi manfaat lain.

Dengan teknologi TNGA, kedudukan titik graviti lebih rendah boleh dicapai untuk meningkatkan kestabilan kenderaan, manakala kerangka badannya lebih kukuh untuk ketahanan kenderaan itu.

Selain itu,TNGA turut merangkumi kejuruteraan enjin serta suspensi dan direka untuk menyediakan imbangan pengendalian dinamik serta stabil tanpa mengorbankan keselesaan.

KENDERAAN ini direka dengan aspek keselamatan yang cukup tinggi apabila meraih penarafan keselamatan lima bintang.

Walaupun merupakan ahli keluarga Corolla, Corolla Cross mempunyai penggayaan yang sama sekali berbeza daripada Corolla sedan.

Corolla Cross mempunyai rekaan menonjol yang mengetengahkan watak sporty dan seronok dipandu di samping berfungsi dengan baik sebagai sebuah SUV.

Jika dibandingkan dengan Corolla sedan, Corolla Cross sedikit pendek dengan panjang keseluruhan 4,460 milimeter (mm), tetapi model itu lebih 45mm lebar dengan ketinggian 1,620mm.

SUV itu menggunakan enjin 1.8 liter petrol DOHC dengan Dual VVT-i digandingkan bersama Transmisi Sequential Shiftmatic (CVT) tujuh kelajuan. Kolaboratif itu mampu menghasilkan kuasa maksimum 139PS dan tork maksimum 172Nm.

Pada 25 Mac lalu, UMW Toyota (UMWT) telah melancarkan Corolla Cross untuk pasaran Malaysia dengan menawarkan dua varian 1.8V dan 1.8G.

Antara ciri-ciri menarik yang hadir bersama model itu ialah Sistem Telematik Kenderaan (VTS) iaitu sistem komunikasi dan pengesanan kenderaan dengan tiga tahun langganan percuma.

VTS membolehkan kedudukan kenderaan dijejaki menggunakan isyarat GSM/GPS. Pemilik juga boleh meninjau status atau kelajuan kenderaan sekiranya kenderaan dicuri.

RUANG dalaman SUV ini didominasi warna hitam dengan dilengkapi Perakam Video Digital (DVR) yang membolehkan pemandu merakam pergerakan kenderaan sepanjang masa.

Pusat panggilan 24 jam akan dapat mengesannya serta memaklumkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan pantas. Sekiranya ada impak yang dikesan, pusat panggilan akan memaklumkan khidmat kecemasan untuk menyediakan bantuan di lokasi semasa kenderaan.

Varian 1.8V datang dengan teknologi keselamatan bersepadu Toyota Safety Sense (TSS) bersama Toyota Synergised Mobility.

Sistem dalam TSS 2.0 lengkap dengan ciri seperti Sistem Praperlanggaran (PCS), Amaran Penukaran Lorong (LDA) dengan Bantuan Stereng, Kawalan Melayar Radar Dinamik (DRCC), Bantuan Pengesan Lorong (LTA) dan Lampu Tinggi Automatik (AHB).

Teknologi itu akan memanfaatkan radar dan kamera serta turut dibantu ciri Peninjau Titik Buta (BSM) dengan Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA) serta Sistem Amaran Tekanan Tayar (TPWS) yang hadir pada semua varian.

Toyota Corolla Cross ini diimport sepenuhnya dari Thailand dan dijual pada harga asal RM134,000 (tanpa pengecualian cukai jualan) dan RM124,000 (dengan pengecualian cukai jualan sehingga 30 Jun 2021) di Semenanjung Malaysia, tidak termasuk insurans.

Selain itu, SUV itu turut dilengkapi Perakam Video Digital (DVR) di depan dan belakang (ditawarkan sebagai pilihan) yang membolehkan pemandu merakam pergerakan kenderaan sepanjang masa.

Sekiranya berlaku kemalangan, rakaman berkenaan boleh digunakan sebagai bukti.

RUANG penyimpanan barangan SUV ini agak luas dengan menawarkan kapasiti 440 liter.

Struktur Corolla Cross direka menahan daya hentaman dari semua sisi ketika terlibat dalam kemalangan. Ini dapat menghindar atau mengurangkan kecederaan kepada penumpang.

Bagi ujian ASEAN NCAP, Corolla Cross menerima penarafan keselamatan lima bintang.

SUV ini didatangkan dengan tujuh beg udara SRS (termasuk satu untuk bahagian lutut pemandu) yang akan diaktifkan sekiranya berlaku perlanggaran teruk. Ciri ISOFIX disediakan di tempat duduk belakang membolehkan pengguna mematuhi peraturan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak dengan mudah.

Lima warna luaran ditawarkan seperti Red Mica Metallic, Platinum White Pearl, Metalstream Metallic, Graphite Metallic dan Nebula Blue Metallic.

UMWT menawarkan jaminan kilang selama lima tahun tanpa had perbatuan dan jaminan sokongan lepas jualan seluruh negara dengan ketersediaan alat ganti tulen.

Kira-kira seminggu sebelum model ini dilancarkan, kami penulis permotoran telah diberi peluang untuk memandu uji ringkas Toyota Corolla Cross varian 1.8G.

Corolla Cross 1.8G menggunakan lampu utama jenis projektor halogen, manakala varian 1.8V pula dilengkapi dengan unit Bi-LED dan rim bersaiz 17 inci.

Masuk ke ruang kabin tema warna utama ialah hitam dengan kemasan balutan kulit bagi tempat duduk, sementara pencahayaan LED pada bahagian pintu depan mencetuskan aura kualiti tinggi.

Tempat duduk pemandu hadir dengan fungsi larasan elektrik lapan hala. Panel instrumen pula mempunyai rekaan sporty dengan fokus utama pada speedometer di tengah serta Multi-Information Display (MID) 4.2 inci.

Panel sembilan inci di tengah papan pemuka pula adalah untuk paparan sistem infotainmen dan audio serta memancarkan imej dari kamera undur.

RUANG tempat duduk belakang dengan ciri ISOFIX yang membolehkan pengguna mematuhi peraturan.

Sistem ini turut menyokong Apple CarPlay dan Android Auto. Sistem sambungan lain termasuklah USB Mirroring, AUX dan Bluetooth.

Selain kemudahan sistem pintar tanpa kunci untuk memudahkan urusan keluar masuk dan menghidupkan enjin, Corolla Cross juga datang dengan pintu belakang sensor kuasa elektrik yang boleh dibuka secara automatik melalui pengesanan gerak kaki pengguna.

Ini memudahkan sekiranya pengguna sedang membawa barang penuh kerana memegang beg atau barangan lain.

Ruang barangan yang tersedia pula mempunyai kapasiti 440 liter.

Jumlah ini boleh ditingkatkan dengan merebahkan bahagian penyandar kerusi belakang.

Dari segi pemanduan, CVT tujuh-kelajuan yang digunakan pula responsif kerana prestasinya terasa dengan memijak pendikit kawalan elektronik selain memberikan maklum balas lebih berkesan, lancar dan senyap.

Aspek pengendalian turut terserlah pada versi SUV ini.

Tambahan pula, radius pusingan 5.2 meter antara terbaik dalam kelasnya sekali gus memudahkan pemandu.

BERITA BERKAITAN