fbpx

Beza budaya rangsang Haas ceburi perniagaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PERBEZAAN budaya sedikit sebanyak memberi rangsangan kepada Haas aktif dalam bidang perniagaan.

DISEBALIK sosok genit, tersembunyi jiwa besar seorang wanita berprofesi usahawan bernama Haas Ja’afar.

Petah berkata-kata, berpewatakan menarik dan sangat mementingkan gaya hidup sihat, ibu kepada dua cahaya mata itu tidak lokek untuk berkongsi tips berkecimpung dalam dunia perniagaan.

Memilih untuk meluncurkan perniagaan berasaskan minuman kesihatan, BeeTeen, Haas tau nama lengkapnya, Hasminda Jaafar, 33, berkata, usaha tersebut direalisasikan kepada satu bentuk perniagaan disebabkan virus Covid-19 yang menjejaskan seluruh dunia.

Selain itu, apa yang mendorong dirinya untuk hadir dengan produk keluaran sendiri adalah kerana kurang yakin dengan lambakan produk berasaskan minuman kesihatan yang berada di pasaran.

Inspirasi, cekal

“Sebelum ini, saya membantu suami sama-sama menjalankan perniagaan agensi pelancongan namun disebabkan pandemik Covid-19 perniagaan tersebut terjejas namun itu tidak mematahkan semangat saya untuk mencuba sesuatu yang baharu.

“Idea untuk meluncurkan jenama BeeTeen juga tercetus disebabkan tiada produk berasaskan minuman kesihatan yang sesuai untuk diri saya di pasaran.

“Saya dulu ada masalah berat badan jadi saya pun pernah cuba beberapa produk di pasaran. Tiada satu yang ‘kena’ dengan jiwa saya. Jadi, saya mengambil initiatif untuk muncul dengan produk sendiri,” kata Haas.

HAAS memiliki Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Limkokwing University.

Pada Disember 2020, BeeTeen siap dihasilkan oleh sebuah kilang terkemuka di Kuala3Lumpur. Kata Haas, penjualan bermula pada 1 Januari 2021 dan pihaknya memutuskan bahawa mengambil semangat tahun baharu akan menjadi satu permulaan yang baik untuk produk yang baru ingin diperkenalkan kepada ramai.

“Syarikat berjaya menjual sebanyak 1000 unit pertama dalam hanya masa lapan hari sahaja. Itu satu pencapaian yang membanggakan untuk satu produk yang sangat baharu di pasaran,” ujarnya.

Berkelulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Limkokwing University, Haas berkata, berkecimpung dalam bidang perniagaan banyak pancarobanya namun perlu sentiasa cekal hati dalam mendepaninya.

Ungkap Haas, dia menceburkan diri dalam bidang perniagaan seawal usia 23 tahun. Waktu itu, dia mengerjakan tiga perihal atau perkara dalam satu masa.

“Pada usia 23 tahun, saya sudah didik diri saya buat lebih daripada satu perkara dalam satu masa. Waktu itu, saya sedang belajar, pada masa sama bekerja dan menjalankan perniagaan beberapa perniagaan seperti jenama kosmetik serta dobi.

“Nasihat saya kepada mereka yang ingin menceburkan diri dalam bidang perniagaan, penuhkan diri dengan ilmu. Usah semberono melabur wang untuk memulakan sesuatu perniagaan.

“Pengalaman juga penting. Tiada usahawan di dunia ini terus berjaya dalam sehari menceburkan diri. Dalam perjalanan mengejar kejayaan, kita juga akan berdepan kegagalan,” katanya.

Asimilasi budaya

Memiliki sistem sokongan yang kuat dengan asimilasi budaya yang kuat, Haas yang bersuamikan seorang lelaki berbangsa Rusia berkata, walaupun berbeza adat dan budaya, dia dan suami sentiasa memberi sokongan dan motivasi antara satu sama lain.

KINI hadir dengan minuman berasaskan kesihatan, Haas optimis untuk maju dalam perniagaan yang diasaskan.

“Suami sudah tujuh tahun tinggal di Malaysia. Dia tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri di negara ini dan dia juga mempunyai minat yang mendalam dalam perniagaan seperti saya.

“Suami berbangsa Rusia namun lahir di Uzbekistan. Dia sangat memahami dan merupakan tulang belakang saya dalam setiap perkara yang saya kerjakan terutama perniagaan.

“Orang cakap bukan senang bersuamikan orang ‘luar’ namun bagi saya, saya belajar banyak perkara daripadanya dan dia mengajar saya erti kehidupan yang tiada tolok banding sebagai seorang sebagai seorang wanita, isteri dan ibu,” jelasnya menggulung bicara. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI