fbpx

Kestabilan politik dan ekonomi negara perlu diteruskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NEGARA kini sedang melalui fasa pembukaan pelbagai sektor ekonomi serta pemulihan ekonomi hasil Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bermula Februari lalu. – GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Kestabilan politik dan ekonomi yang dikecapi negara ketika ini perlu dipertahankan dalam memastikan rak­yat dapat hidup dengan aman dan selesa meskipun negara masih ‘berperang’ dengan pandemik Covid-19.

Penganalisis ekonomi bebas, Dr. Baayah Baba berkata, negara kini sedang melalui fasa pemulihan ekonomi selepas terjejas teruk akibat penularan Covid-19.

Katanya, proses pemulihan ini memerlukan kerjasama daripada semua pihak termasuk rakyat, ahli politik dan juga kerajaan.

“Proses pemulihan ini tidak akan berjaya sekiranya ramai pihak (ahli politik) yang bersengketa sesama sendiri tanpa menghiraukan kesan jangka panjang terhadap pelaburan dan ekonomi.

“Jika kemelut politik ini berte­rusan, ramai pelabur akan ‘ang­kat kaki’ dan mencari pasaran baharu (negara lain) yang lebih stabil, akhirnya kita juga yang akan rugi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Justeru, Baayah berkata, semua pihak perlu mengenepikan dulu segala persengketaan politik ketika ini dan terus menyokong pimpinan sedia ada dalam memastikan pemulihan ekonomi berjalan lancar.

“Ketepikan dahulu semua persengketaan ketika ini, tumpu pada pemulihan ekonomi dan nasib rakyat yang terkesan de­ngan pandemik Covid-19 ketika ini.

“Biar Pilihan Raya Umum selepas ini (PRU-15) yang menentukan siapa yang akan mentadbir kerajaan selepas ini,” tegasnya.

Sementara itu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menegaskan semua penjawat akan menyokong segala dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan ketika ini.

Presidennya, Adnan Mat berkata, semua penjawat awam tidak kira di peringkat Persekutuan atau kerajaan negeri diseru supaya meneruskan tugas seperti biasa dan tidak terganggu atau terpengaruh dengan kemelut politik yang boleh menjejaskan perkhidmatan kepada rakyat.

“Walau apa juga tekanan dan cabaran yang dihadapi ketika ini, Cuepacs yakin penjawat awam mampu melaksanakan tanggungjawab masing-masing,” ujar beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI