fbpx

Tiga teras PSSN martabatkan lanskap dan sistem statistik negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sallehhuddin ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pelan Strategik Jabatan Perangkaan Malaysia 2021-2025 secara maya di laman sosial Facebook DOSM, hari ini.

PUTRAJAYA – Tiga teras Pengukuhan Sistem Statistik Negara (PSSN) yang dicadang akan dilaksanakan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mampu memartabatkan lanskap dan sistem statistik negara.

Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Sallehhuddin Hassan berkata, bagi melangkaui ekspektasi dan keberanian melakukan perubahan, DOSM dilihat terus mengorak langkah dalam melaksanakan PSSN.

Katanya, salah satu teras pengukuhan berkenaan adalah menambah baik struktur tadbir urus sistem statistik negara melalui penubuhan Majlis Statistik dan Data Negara (MSDN), DOSM bertindak sebagai Agensi Pusat, pelantikan Chief Data Officer (CDO), pindaan Akta Perangkaan 1965 (Disemak 1989) dan penggubalan Akta Konsolidasi Data.

“Keduanya ialah mewujudkan sistem data berpusat dengan mempertingkatkan infrastruktur data, penghasilan output serta penyebaran data melalui pembangunan hab data melalui cadangan Penubuhan Pusat Analitik Data Raya Negara.

“Yang ketiga ialah memperkukuhkan kapasiti statistik dengan meningkatkan kompetensi serta profesionalisme anggota DOSM dan cadangan Penubuhan Malaysia Statistics Incorporated,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pelan Strategik Jabatan Perangkaan Malaysia 2021-2025 secara maya menerusi laman sosial Facebook DOSM hari ini.

Sallehhuddin berkata, kelulusan Jemaah Menteri pada 9 September 2020 bagi melaksanakan Pengukuhan Sistem Statistik Negara (PSSN) adalah tepat untuk memartabatkan lanskap dan sistem statistik negara.

“Pelan Strategik ini dapat mewujudkan kefahaman dan menjadi rujukan utama hala tuju dalam perancangan dan pengurusan modal insan sejajar dengan peranan DOSM.

“Bertepatan dengan moto DOSM yang baharu iaitu Statistik Nadi Kehidupan, statistik rasmi yang disusun dan disebar oleh DOSM merupakan tunjang kepada pembangunan dan pengukuhan kedudukan sosio ekonomi negara bagi kesejahteraan rakyat,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI