fbpx

Tiada syor menteri letak jawatan serta-merta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Reezal Merican berucap pada Majlis Penyerahan Penugasan Sukarelawan Khidmat Sokongan Malaysia Vaccine Support Volunteers (MYVAC) di Menara KBS di sini, hari ini.- Foto FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Usul peletakan jawatan Menteri Kabinet daripada UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2020) hujung minggu lalu tidak menjelaskan mengenai tempoh untuk mereka berbuat demikian.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, ketika ini, semua menteri UMNO sedang bergelumang dalam perjuangan membantu  program yang membabitkan rakyat.

Katanya, tugasan menteri masih tidak berkesudahan dan semua melihat tanggungjawab melaksanakan program buat rakyat itu sebagai satu keutamaan.

“Saya nak bagi gambaran jelas bahawa dalam usul PAU 2020 Ahad lalu tidak dinyatakan menteri perlu letak jawatan serta-merta.

“Ketika ini, semua menteri sedang berjuang membantu menjayakan program melibatkan rakyat antaranya Khairy Jamaluddin Abu Bakar (Penyelaras Program Imunisasi Covid -19), Datuk Seri Dr. Adham Baba (Menteri Kesihatan), Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein (Menteri Luar).

“Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Menteri Kanan Pertahanan), begitu juga saya sendiri yang memperjuangkan sektor sukan untuk dibuka semula bagi memberi faedah kepada rakyat dan begitu Tan Sri Annuar Musa selaku Menteri Wilayah Persekutuan yang banyak melaksanakan program dan bantuan di Wilayah Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pagi tadi yang menyebut bahawa menteri UMNO tidak perlu meletakkan jawatan masing-masing serta kekal dalam Kabinet.

Terdahulu, beliau hadir majlis penyerahan penugasan Sukarelawan Khidmat Sokongan Malaysia Vaccine Support System (MYVAC) di kementeriannya di sini hari ini.

Sementara itu, Reezal Merican berkata, beliau tidak mahu peletakan jawatan mereka dari Kabinet menjejaskan segala perancangan kerajaan untuk mengatasi masalah Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Beliau berkata, sekiranya sembilan menteri UMNO bertindak meletakkan jawatan, ia akan memberikan impak negara kepada parti dan juga rakyat.

“Sekiranya tanggungjawab ini diabaikan, nama parti akan menjadi buruk dan menteri UMNO tidak menjalankan tanggungjawab,” katanya.

Reezal yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, tanggungjawab untuk meneruskan tugas sebagai menteri di portfolio masing-masing adalah salah satu cara bagi mereka untuk memastikan tanggapan kepada UMNO adalah lebih baik.

“Jadi tidak timbul soal hendak letak jawatan dan pada sudut yang sama juga diambil Perdana Menteri yang turut  memahami hasrat tersebut,” katanya.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI