fbpx

PATI Myanmar tangkap ikan di zon larangan dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bot pukat tunda dari Hutan Melintang yang dikendalikan empat warga Myanmar ditahan dekat Pulau Jarak petang semalam.

LUMUT – Maritim Malaysia (APMM) Perak menahan sebuah bot nelayan tempatan dikendalikan empat nelayan warga Myanmar yang dikesan menangkap ikan di zon larangan tidak jauh dari Pulau Jarak dekat sini petang semalam.

Bot pukat tunda Kelas C itu dikesan berada pada kedudukan 8.2 batu nautika barat daya Pulau Jarak kira-kira pukul 6 petang.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, Kapal Maritim (KM) Tugau yang sedang melaksanakan Op Benteng di sekitar perairan Pulau Jarak telah mengesan sebuah bot nelayan dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, bot tersebut dikendalikan oleh empat kru termasuk tekong yang merupakan warga Myanmar berumur dalam lingkungan 27 hingga 42 tahun serta tiada sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Shahrizan, Blbot tersebut yang dipercayai berpengkalan di Hutan Melintang, Bagan Datuk, disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan di zon yang dilarang dan menggunakan pukat tunda.

Jelasnya, mereka juga melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 iaitu berada di negara ini tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.

Katanya, pemilik bot tersebut juga boleh disiasat di bawah akta sama kerana menggunakan kru warga asing yang tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

Katanya, tekong dan kru serta bot ditahan dan diiring masuk ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Kampung Bharu Sitiawan, dekat sini, malam tadi, bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI