fbpx
KUMPULAN DRAMA BAND

Interpretasi isu cara Drama Band

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBUT sahaja nama Drama Band, masih segar dalam ingatan persembahan mereka mendendangkan lagu Drama di pentas Anugerah Juara Lagu ke-34 tahun lalu.

Bemula daripada momen tersebut, nama mereka kembali ‘bergendang’ sehingga mendapat jolokan sebagai ‘band kuat perli’.

Tidak menyepi meski dihentam teruk, kumpulan yang dianggotai oleh enam lelaki yang terdiri daripada Aepul Roza selaku vokalis, Daus (bes), Adib (gitar), Faeez (dram) dan Omey (keyboard) terus utuh berkarya untuk peminatnya.

DRAMA BAND dianggotai oleh (dari kiri) Adib, Faeez, Aepul, Syahmir, Daus dan Padel.

Manipulasi populariti

Seperti penyanyi dan kumpulan lain, setiap anak seni pasti mempunyai cara untuk untuk melempiaskan kreativiti dalam muzik.

Sama juga halnya dengan Drama Band yang menggunakan platform muzik menerusi karya untuk berekspresi dan berkomunikasi dengan pendengarnya.

Luahan berhubung isu-isu semasa juga antara pendekatan untuk menyampaikan mesej menerusi karya kreatif.

Tutur Aepul atau nama sebenarnya Noor Syaiful Mohd. Zalaludin, 33, setiap penyanyi mempunyai cara tersendiri untuk berkarya sama juga dengan halnya dengan Drama Band.

“Sepatutnya tidak timbul soal tumpang populariti ataupun ambil kesempatan daripada isu semasa kerana itu semua kebetulan sahaja.

“Daripada semua isu yang berlaku, kami juga punya hak bersuara tentang isu semasa cuma berlainannya, kami terjemahkan dalam bentuk karya kreatif.

DRAMA BAND akan tampil dengan sebuah single baharu berjudul Jika Tiada Esok sebuah lagu agak sentimental nukilan Aepul yang terzahir selepas terlibat kemalangan jalan raya Mac tahun lalu. – SHIDDIEQIIN ZON

“Kami bukan hanya guna isu semasa tetapi pengalaman sendiri juga boleh beri inspirasi. Itu cara kami memanisfestasikan mesej kepada pendengar,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Enggan mengambil pusing dengan tohmahan orang, Aepul memberitahu, kumpulannya akan terus berkarya dan menyampaikan mesej menerusi lagu ciptaan mereka.

Aepul juga menolak apabila ada yang mengatakan mereka hanya akan melancarkan lagu sekiranya berlaku isu besar.

“Kalau nak cerita selepas lagu Drama, memang banyak ilham yang kami dapat.

“Cuma yang lagu akan datang ini seperti Ular juga masih berkisarkan kisah benar, namun lebih tentang konflik kehidupan,” tuturnya lagi.

Aepul juga tidak menolak populariti Drama Band meledak selepas dia muncul dengan naskhah yang sarat isu semasa.

“Ya, memang orang semakin kenal Drama Band tetapi sejujurnya tidaklah sampai menempel dalam setiap isu. Kami tidak dahagakan kemasyhuran segera,” tegasnya.

DIBERI jolokan ‘band kuat perli’, Aepul berkata, kupasan isu semasa dalam lagu merupakan satu pendekatan mereka untuk berkarya dan memberi kesedaran menerusi muzik.

Album

Bercerita tentang perjalanan seni Drama Band, Faeez Ikhwan memberitahu, mereka sudah muncul dengan sebuah album penuh sejak November tahun lalu.

Ujar Faeez, album tersebut bagi merealisasikan impian sebagai anak seni selepas 10 tahun menghambakan diri dalam bidang muzik.

Antara lagu yang terkandung dalam album tersebut ialah Satu-Satu, Kayangan, JBKT (Jangan Bikin Kerja Tuhan), Bagiku dan Cubaan.

Manakala, dua lagu duet pula Sejujurnya bersama Leez Rosli dan Ular hasil kerjasama dengan Sekumpulan Orang Gila (SOG).

“Album berjudul Drama itu hadir dengan sebuah album penuh yang diisi dengan 16 buah naskhah termasuk tujuh lagu baharu dan selebihnya daripada karya-karya terdahulu yang diberi susunan semula.

“Menariknya, album kami dijual dalam bentuk pemacu pena dan rasanya cara tersebut sangat memudahkan semua orang. Sudah jarang dengar orang beli album dalam bentuk cakera padat (CD),” ujarnya yang pernah dijangkiti Covid-19.

Sebagai permulaan selepas kembali bertenaga, Drama Band akan tampil dengan lagu baharu mereka berjudul Jika Tiada Esok.

BUAT masa ini projek Drama Busking Tour terpaksa dihentikan seketika susulan beberapa ahli kumpulan dijangkiti Covid-19.

Drama Busking Tour

Naskhah yang sarat dengan mesej tersebut merupakan hasil ciptaan Aepul yang memberitahu ilhamnya diperoleh ketika terbabit dalam kemalangan jalan raya di Pulau Pinang sekitar Mac tahun lalu.

Ujar Faeez, pada awalnya Aepul ingin menyimpan lagu berkenaan untuk koleksi peribadi tetapi akhirnya membuat keputusan untuk dimuatkan dalam album kali ini.

“Saya rasa sekarang ialah masa yang sesuai untuk kami hidangkan lagu tersebut kerana karya ini seumpama puisi untuk semua orang yang saya sayang.

“Lirik lagu ini sangat menyentuh emosi dan mahu memberitahu betapa besarnya rasa kasih ada di dalam hati ini untuk mereka yang tersayang,” katanya.

Berkongsi tentang jelajah Drama Busking Tour, semua aktiviti terpaksa dihentikan seketika susulan beberapa ahli kumpulan dijangkiti Covid-19.

“Kami sempat menawan beberapa buah negeri dan lokasi terakhir ialah di Ipoh, Perak dan sepatutnya akan ke Port Dickson, Negeri Sembilan.

“Tetapi selepas salah seorang kru dijangkiti, kami terus hentikan jelajah, tak mahulah bawa kluster baharu.

“Harap jelajah tersebut akan disambung, rindu juga hendak buat persembahan,” katanya menutup perbualan.

POPULAR