PETALING JAYA – Nasib kira-kira 900 pembeli rumah Projek Perumahan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) di Residensi Melaka Tengah 2 (MT2), Melaka bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga apabila projek yang sepatutnya siap sejak tahun 2019 itu masih terbengkalai sehingga kini.
Lebih malang lagi, pelbagai janji manis yang ditawarkan pemaju sebelum ini hanya tinggal angan-angan apabila pihak berkenaan didakwa terus ‘membisu’ tanpa apa-apa tindakan.
Seorang pembeli projek PR1MA Melaka Tengah 2 (MT2) yang mahu dikenali sebagai Shahrul Neezal Zaidon berkata, apa yang menyedihkan apabila mereka sudah mula membayar pinjaman dan faedah pinjaman hampir RM300 sebulan untuk fasa pertama.
“Ketika saya membeli rumah ini, ejen projek ini memberitahu bahawa akan siap pada 2019, namun selepas setahun projek tidak siap juga.
“Bila pergi tapak tengok sendiri, projek itu terbengkalai, tahun ini sudah bersemak-samun dan PR1MA ubah lagi tarikh siap ke 2023,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook semalam.
Tambah Shahrul Neezal, sehingga kini terdapat lebih 100 orang pembeli yang terjejas dengan projek tersebut telah tampil membuat aduan.
“Saya kini berasa terbeban kerana perlu membayar sewa rumah dan bayaran ansuran pinjaman dengan pihak bank, namun bila jumpa pembeli lain, kisah mereka lebih sedih.
“Ada yang berhasrat ingin duduk di rumah itu bersama ibu dan bapa, namun tidak kesampaian apabila projek itu tergendala dan kedua-dua orang tua juga sudah meninggal dunia.
“Bermacam usaha telah dibuat termasuk aduan kepada pihak pengurusan PR1MA dan aduan rasmi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, namun mereka hanya membisu. Kami rasa teraniaya dan tertindas.
“Semua pembeli akan dapat e-mel daripada PR1MA menyatakan seribu alasan, paling terbaru PR1MA menggunakan alasan Covid-19, sedangkan rumah terbengkalai sebelum Covid-19 lagi,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi pembeli MT2 dikenali sebagai Nur Amira berkata, dia sedih dengan kemajuan projek tersebut yang kini telah terbengkalai.
Dakwanya, jika pembeli mahu membatalkan pembelian, mereka akan dikenakan penalti.
“Beli dari sebelum kahwin, ingat siap seperti yang dijanjikan, lepas kahwin boleh duduk sini. Tapi sehingga sudah kahwin dan ada anak pun, rumah masih belum siap.
“Sedangkan projek rumah PR1MA yang bercampur (bukan-bumi) semua berjalan dan sudah tinggal rumah mereka seperti PR1MA Klebang,” jelas yang juga pembeli rumah pertama.
Sementara itu, di Johor, lebih 1,284 pembeli projek perumahan Residensi Tebrau yang terletak di Jalan Tebrau, Johor Bahru menarik nafas lega apabila dijadual menerima kunci rumah masing-masing 30 April ini.
Residensi Tebrau yang dahulunya dikenali sebagai PR1MA Tebrau merupakan salah satu daripada empat projek bawah PR1MA yang sedang dijalankan di Johor.
Projek berkenaan yang terletak di Jalan Tebrau bersebelahan dengan Kampung Dato’ Sulaiman Menteri, Johor Bahru mempunyai sebanyak lima blok dengan 1,284 unit rumah setinggi 26 tingkat dan berharga kira-kira RM150,000 sehingga lebih RM300,000.
Menurut salah seorang pembeli, Azizi Majid, 38, pada awalnya, pemaju berjanji projek itu akan siap pada Oktober tahun lalu, sebelum ditunda ke Januari serta Mac dan sekarang sekali lagi ditangguh ke April disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Sehingga kini, wakil pemaju mendakwa projek Residensi Tebrau sudah siap sebanyak 99 peratus dan berjanji akan menyerahkan kunci pada 30 April ini.
“Pemaju maklumkan pihak mereka sedang melakukan kerja-kerja terakhir iaitu menyiapkan proses saluran paip air sebelum bekalan air bersih dapat digunakan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Tiada projek terbengkalai, cuma tertangguh – PR1MA
PETALING JAYA – Perumahan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) memaklumkan setakat semalam, tiada sebarang projek perumahan miliknya terbengkalai seperti yang didakwa di media sosial.
Sebaliknya, jurucakap PR1MA berkata, kebanyakan status projek milik perbadanan itu kini tertangguh sementara akibat beberapa isu berkaitan kontraktor dan sebagainya.
Menurutnya, bagi menjelaskan situasi terkini, PR1MA akan mengadakan sesi libat urus dengan pembeli dalam masa terdekat bagi menjelaskan status dan kemajuan terkini pembinaan kediaman mereka.
“Untuk pembeli di Melaka Tengah dan Port Dickson kami akan laksanakan sesi libat urus dengan pembeli pada awal bulan depan, tarikh dan lokasinya akan dimaklumkan kepada mereka (pembeli).
“Untuk sesetengah projek, pihak PR1MA juga telah membayar sebahagian daripada Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD). Bagi pembeli yang ada masalah dengan LAD, mereka boleh menghubungi pihak PR1MA kerana setiap orang berbeza cara pengiraannya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Mengulas lanjut, PR1MA berkata, bagi Residensi Melaka Tengah 2, projek tersebut telahpun melalui fasa lantikan kontraktor penyelamat untuk menyambung semula kerja-kerja pembangunan.
Jelasnya, status siap residensi ini telahpun mencapai 64 peratus dan dijangka siap pada 2023.
Sementara itu, mengulas mengenai sesi libat urus, PR1MA berkata, pihak telah menjalankan sesi libat urus bersama wakil pembeli Residensi Tebrau, Johor Bahru pada 15 Mac lalu yang dihadiri oleh 10 orang pembeli yang merupakan wakil dari setiap blok.
“Ini merupakan sesi libat urus kedua rentetan daripada perjumpaan pertama pada 10 Februari lalu, namun perjumpaan ini hanya melibatkan empat wakil pembeli disebabkan oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan pada masa tersebut.
“Pada sesi libat urus tersebut, pihak PR1MA telah menjelaskan situasi yang berlaku dan menyatakan bahawa milikan kosong (VP) akan diserahkan selewat-lewatnya pada 30 April 2021,” ujarnya.
Pada masa sama, PR1MA mengambil maklum kegusaran para pembeli dan akan cuba sedaya upaya untuk mencari jalan penyelesaian untuk isu-isu yang dibangkitkan.
Segala maklumat terkini berkaitan projek dan status pembinaan projek-projek PR1MA dapat diakses oleh pembeli di laman sesawang PR1MA di https://www.pr1ma.my/ di bawah segmen “property” dan “project status.”
Pembeli juga boleh terus menghubungi PR1MA di talian di 03-7628 9898 atau e-mel ke i[email protected].














