fbpx

Survival industri penerbangan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
WARTAWAN EKSEKUTIF, AFIQ AL-HAFIZ MAT YUSOF

SEJAK dunia dilanda penularan Covid-19, industri penerbangan antara yang terjejas teruk sehingga ribuan pekerja terpaksa diberhentikan.

Banyak pesawat tersadai tanpa penumpang di lapangan terbang dan mengakibatkan syarikat penerbangan besar negara termasuk di serata dunia dirun­dung kerugian besar.

Walaupun di negara ini masih belum ada syarikat penerbangan yang mengisytiharkan muflis, namun langkah pengurangan kos telah berlaku dalam syarikat-syarikat utama penerbangan.

Cuti tanpa gaji secara sukarela selain terpaksa menjual kapal terbang antara langkah yang diambil syarikat penerbangan.

Persoalannya, sampai bila industri penerbangan mampu bertahan untuk menampung kerugian yang dihadapi pada waktu sukar ini dan adakah syarikat-syarikat penerbangan mampu kembali pulih?

Penganalisis Penerbangan, Jaafar Zamhari berkata, trafik penumpang dalam negara juga merosot ke paras terendah dalam sejarah penerbangan Malaysia iaitu hanya 802,525 penumpang pada suku kedua atau susut 97.0 peratus daripada 26.7 juta penumpang pada suku sama tahun lalu.

“Bagi separuh pertama 2020, permohonan Hak Trafik Udara (ATR) susut ketara sebanyak 55.6 peratus berbanding tempoh sama pada 2019.

“Virus Covid-19 terbukti me­nular jauh lebih pantas menyebabkan pihak berkuasa pe­nerbangan awam tiada pilihan kecuali mengenakan sekatan perjalanan dan menutup sempadan antarabangsa,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Jaafar berkata, tempoh separuh pertama 2020 menyaksikan 169,728 pe­nerbangan domestik dan antarabangsa membabitkan tiga syarikat pe­nerbangan tempatan iaitu Malaysia Airlines, AirAsia dan Malindo telah dibatalkan yang turut menjejaskan lebih 4 juta penumpang.

“Syarikat-syarikat penerba­ngan kini amat terjejas dengan sebahagian besar disifatkan dalam mod bertahan sedaya mungkin demi meneruskan ke­langsungan berikutan aliran tunai yang kian kering lebih pantas daripada jangkaan.

“Syarikat-syarikat penerba­ngan juga terpaksa melakukan pembatalan pada saat-saat akhir bagi mematuhi sekatan ditetapkan, termasuk mengalihkan penumpang menaiki pesawat lain yang hanya meningkatkan kos operasi,” jelasnya.

Beliau turut memberitahu, realitinya, ketika banyak industri lain meniti proses pemulihan berikutan kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan, industri penerbangan masih tidak menentu dari segi tempoh untuk membolehkannya terbang semula berikutan pasaran domestik yang tidak memadai untuk mengekalkan kelangsungannya.

Namun, secara peribadi, beliau menjangkakan penerbangan domestik akan mula menunjukkan peningkatan ketara mulai Julai tahun ini.

Perkembangan positif membabitkan vaksin Covid-19 se­perti Pfizer dan BioNTech ternyata mampu memberi harapan membabitkan pemulihan perjalanan udara serta pembukaan semula sempadan antarabangsa.

Kalangan pengendali syarikat penerbangan dan kargo telah menyatakan kesediaan serta komitmen untuk mengutamakan kapasiti kargo bagi menghantar vaksin berkenaan.

Industri ini dijangka kembali pulih, namun perlu menghadapi pelbagai rintangan untuk bangkit semula kerana bukan mudah untuk kembali seperti dahulu kala.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI