fbpx

Norzira tabah tempuh ujian getir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua kali dibuang kerja menjadikan wanita ini lebih tabah dalam mengharungi hidup.

DIBUANG kerja sebanyak dua kali merupakan satu perkara paling memeritkan yang terpaksa ditelan dan dilalui wanita kelahiran Tumpat, kelantan ini.

Bukan sekali, tetapi dua kali ujian tersebut diberikan Ilahi kepada pemilik nama sebenar Norzira Syarini Mohammed Pauzi, 33.

Mengimbau kembali detik sedih bersulam duka itu, Norzira yang lebih mesra disapa sebagai Ira dalam kalangan rakan-rakan dan ahli keluarga terdekat menyatakan, luka tersebut masih berbekas hingga ke saat ini.

“Pertama kali diberhentikan kerja adalah pada 2017 sewaktu saya bekerja bersama sebuah syarikat media kerajaan. Ia dilakukan disebabkan pengecilan jumlah pekerja bagi mengurangkan kos operasi.

“Walaupun hanya memegang status kontrak selama tujuh tahun, namun entiti syarikat yang merupakan badan kerajaan membuatkan saya lega dan tidak khuatir. Tapi tekaan saya ternyata silap,” ujarnya membuka bicara bersama Aura.

Beberapa bulan selepas itu, Ira memberitahu dia ditawarkan bekerja di sebuah syarikat swasta yang menerbitkan akhbar kesihatan berbahasa Melayu sebagai editor.

Benar bak kata pepatah Melayu, Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Itulah nasib dan takdir yang terpaksa ditelan Ira sekali lagi apabila diberhentikan dalam masa 24 jam selepas dua tahun berkhidmat.

“Bayangkan betapa luluhnya perasaan saya pada ketika itu. Secara jujurnya saya terduduk dan terlalu sedih mengenangkan nasib yang menimpa.

“Tetapi jauh di sudut hati saya reda dengan nasib yang menimpa pada hari tersebut. Saya yakin ada rezeki Allah yang sangat besar menanti di luar sana. Lagipun saya masih ada keluarga yang sentiasa ada mendoakan kejayaan,” katanya.

SUAMI, Mohd. Afiq Abu Hasan menjadi pendorong dalam apa juga dilakukan Norzira.

Menyambung cerita, wanita berzodiak Scorpio itu memberitahu, dia tidak boleh duduk diam dan terus bersedih mengenang nasib lantas merangka satu persatu kemahiran yang dianugerahkan.

Bertitik tolak dan berbekalkan sedikit kemahiran menulis, Ira lantas mencabar diri dan memberanikan diri dengan mewujudkan sebuah portal kesihatan dalam talian miliknya sendiri.

“Daripada situ juga, saya mula berjinak-jinak dalam bidang agensi pengiklanan.

“Dipendekkan cerita saya mula agresif sebagai syarikat pengiklan yang berdaftar dengan semua stesen televisyen, radio, akhbar dan semua medium pengiklanan secara luar talian (offline).

“Dua minggu pertama saya berjaya mendapat keuntungan sehingga lima angka dengan kepercayaan transaksi daripada klien lebih daripada enam angka. Bermula daripada situ, saya tidak menoleh ke belakang lagi dan terus gali kekuatan diri sendiri,” ujarnya.

ANAK ketiga kelahiran Tumpat, Kelantan ini merangkul kejayaan tersendiri apabila menerima anugerah, sekali gus mengiktiraf pencapaiannya baru-baru ini.

Jelas Ira lagi, disebabkan permintaan yang semakin tinggi, dia mula menggaji pekerja dan tawarkan rakan sekerja yang sama-sama pernah diberhentikan sebelum ini untuk bekerja bersamanya.

Bercerita mengenai syarikatnya, NewsFeedMedia turut membantu para usahawan merangka pemasaran berstrategi bagi mempromosikan apa sahaja produk ataupun perkhidmatan yang ditawarkan.

IBU bapa, adik-beradik dan suami menjadi tulang belakang dalam kejayaan Norzira hingga ke hari ini.

“Alhamdulillah. Saya sendiri kadang-kadang masih tidak percaya kejayan demi kejayaan yang saya lalui setelah diuji begitu hebat sebelum ini.

“Kejayaan ini bukan milik saya semata-mata, tapi seluruh keluarga kecil NewsfeedMedia dan saya amat berterima kasih atas sokongan dan kepercayaan semua klien,” ujarnya yang dinobatkan sebagai 100 Penerima Anugerah CEO Muda Terbaik dalam Media dan Industri Pengiklanan 2020 baru-baru ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI