fbpx

180,000 usahawan bakal manfaatkan SPPP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP) yang diperkenalkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bakal dimanfaatkan kira-kira 180,000 usahawan daripada golongan B40 dan juga pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Nor Azimah Abdul Aziz berkata, skim tersebut bertujuan untuk membantu individu terjejas akibat pandemik Covid-19 dengan mendaftarkan perniagaan mereka secara percuma dan memberikan pengecualian fi pendaftaran.

Menurutnya, sehingga 28 Februari lalu, sebanyak 2,148 permohonan telah diluluskan merangkumi perniagaan milikan tunggal dan perkongsian.

“Pada peringkat awal pelaksanaan, skim ini ditawarkan kepada golongan belia dan ibu tunggal dalam kumpulan B40 serta pelajar IPT sepenuh masa.

“Tetapi pada 16 Februari lalu, SSM telah menambah baik skim ini untuk diperluaskan kepada semua usahawan kumpulan B40 dan pelajar IPT sepenuh masa,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Nor Azimah menjelaskan, se­iring dengan tawaran SPPP itu, SSM turut menganjurkan Prog­ram Bimbingan Usahawan 2021 (PBU21) sebagai sokongan dan ga­lakan kepada masyarakat untuk menceburi bidang perniagaan.

Sehingga kini, PBU21 telah mendapat sambutan yang baik daripada usahawan dan pihak­nya telah menerima lebih daripada 400 permohonan.

“Tetapi hanya 250 orang yang dipilih untuk menyertai program berkenaan melalui platform secara online, Microsoft Teams (MSTeam),” ujarnya.

Tambah Nor Azimah, bertemakan pendigitalan perniagaan, PBU21 dilaksanakan untuk memberi kesedaran dan ­pengetahuan mengenai kepen­tingan mendaftarkan perniagaan dan faedah mewujudkan perniagaan yang sah di sisi undang-undang.

“Peserta akan turut diberi pendedahan tentang keperluan pengurusan perniagaan yang ber­etika, kaedah pengurusan ke­wangan serta pendedahan me­ngenai strategi pemasaran secara digital,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI