SEOUL – Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in menerima suntikan vaksin Covid-19 hari ini sebelum beliau dijadualkan berangkat ke Britain bagi menghadiri persidangan G-7 pada Jun ini, lapor agensi berita Yonhap, hari ini.
Dos pertama vaksin AstraZeneca itu diterima di pusat kesihatan awam daerah Jongno-gu bersama-sama dengan isterinya, Kim Jung-sook dan sembilan pegawai kerajaan Blue House yang akan turut sama dalam delegasi Korea Selatan.
Jae-in tiba di pusat perubatan tersebut pada pukul 9 pagi, kemudian diambil bacaan suhu badannya selain identiti dan keadaan kesihatannya diperiksa petugas kesihatan.
“Suntikan ini langsung tidak menyakitkan, mungkin kerana anda sangat mahir mengendalikannya,” puji Jae-in kepada jururawat yang menyuntiknya.
Persidangan G-7 dijadualkan berlangsung di sebuah pusat peranginan tepi pantai, di Carbis Bay, Cornwall pada 11 hingga 13 Jun ini.
Korea Selatan memulakan program vaksinasi AstraZeneca bagi rakyatnya yang berusia 65 tahun ke atas pada hari ini, sedikit lewat daripada jadual asal susulan kebimbangan berkaitan jaminan keselamatannya sebelum ini.
Pihak kesihatan tempatan telah menjelaskan tiada bukti yang mengaitkan vaksin tersebut dengan laporan darah beku. – Agensi






