fbpx

Harga dedak mahal runsingkan penternak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
WARTAWAN EKSEKUTIF, MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

SEJAK cuaca panas bermula awal Februari lalu, ramai golo­ngan petani dan penternak berdepan dengan kenaikan harga makanan haiwan dan dedak.

Kebanyakan penternak lembu dan kambing di Kelantan khususnya menggunakan rumput untuk memberi makan kepada ternakan mereka.

Susulan cuaca panas, rumput menjadi kering dan keadaan itu tidak sesuai untuk diberikan kepada lembu dan kambing sekali gus penternak terpaksa menggunakan dedak.
Bagaimanapun, harga dedak semakin meningkat secara mendadak sejak sebulan lalu.

Seorang penternak lembu di Pasir Pekan, Tumpat, Amran Ramli, 45, ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini mengeluh kerana harga dedak semakin mahal, namun dia tiada pilihan kerana rumput yang berada di kawasan kampungnya sudah kering.

Katanya, dia terpaksa membeli bekalan dedak kerana tidak mahu ternakannya kelaparan.

“Saya boleh memberi ternakan jerami sebagai alternatif, namun ia juga melibatkan kos pengangkutan kerana perlu me­ngambil tanaman itu di kawasan lain.

“Mahu atau tidak, saya perlu membeli makanan haiwan kerana itu sahaja cara untuk lembu-lembu makan,” katanya.

Menurutnya, kenaikan harga dedak dilihat akan berlaku sekiranya mendapat permintaan tinggi daripada penternak.

Yang Dipertua Persatuan Pengguna Islam Kelantan (PPIK), Datuk Seri Dr. Mohd. Fared Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada penternak mengenai masalah itu.

Katanya, selepas meneliti laporan yang diterima, beliau berdukacita dengan isu itu kera­na ia melibatkan golongan penternak terdiri daripada golongan kurang berkemampuan.

“Kenaikan harga makanan haiwan dan dedak dilihat naik sebanyak 30 peratus iaitu daripada 40 sen hingga mencecah RM2 mengikut jenis-jenisnya. Ia melibatkan jualan dedak seberat 20 hingga 50 kilogram.

“PPIK beranggapan bahawa pihak pengilang mengambil ke­sempatan dengan menaikkan harga makanan haiwan ketika musim Perintah Kawalan Perge­rakan baru-baru ini.

“Ia dapat dilihat apabila stok makanan haiwan sukar didapati selain ia dijual pada kadar yang terhad oleh peruncit sejak Janua­ri lalu,” katanya ketika dihubu­ngi Kosmo!.

Menurut Mohd. Fared, beliau mencadangkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Bahagian Penguatkuasaan Harga dapat memainkan peranan utama dalam memantau kenaikan harga makanan haiwan teruta­manya di Kelantan.

Katanya, beliau merasakan kenaikan harga makanan haiwan tidak kena pada masanya kerana kebanyakan golongan penternak amat terkesan dengan penularan wabak Covid-19 ketika ini.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, kenaikan harga makanan haiwan tidak selari dengan permintaan ketika penularan Covid-19.

Katanya, sektor penternakan di negara ini tidak terkecuali menerima tempias akibat penularan Covid-19 dan kerajaan perlu campur tangan dalam isu tersebut.

“Harga barangan sukar untuk dikawal pada kedudukan yang statik kerana pengilang juga menghadapi masalah mendapatkan bahan mentah terutama yang perlu diimport dari luar negara.

“Justeru, kerajaan perlu mengambil perhatian terhadap masalah penternak kerana ia sudah berlarutan sejak tahun lalu,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI