fbpx

Larangan menjerit naik rollercoaster

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Peraturan dilarang menjerit ketika menaiki mana-mana permainan ekstrem di taman tema di California akan dikuat kuasakan termasuk di Disneyland. - Getty Images

SACRAMENTO , California – Pentadbiran taman tema di California, Amerika Syarikat (AS) akan menguat kuasakan larangan menjerit ketika menaiki permainan ekstrem dalam usaha menghentikan penyebaran virus Covid-19, lapor akhbar Metro News UK, semalam.

Larangan tersebut merupakan antara alternatif pembukaan semula taman tema dengan bertanggungjawab di bawah kendalian Persatuan Tarikan dan Taman California (CAPA) yang mengarahkan semua taman tema termasuk Disneyland untuk melarang pengunjung berteriak ketika menaiki permainan ekstrem seperti rollercoaster.

CAPA juga mahukan semua pengunjung memakai pelitup muka di dalam kawasan taman tema supaya tiada titisan air liur menitik di atas mana-mana permainan di situ.

Pihak tersebut juga meminta semua taman tema di negeri itu untuk mengehadkan bilangan penumpang dalam semua permainan bagi memudahkan proses keluar pengunjung.

Panduan baharu ini turut dikenakan di taman tema popular lain di Golden State termasuk Six Flags Magic Mountain, Knott’s Berry Farm, Legoland California dan SeaWorld San Diego.

Menurut laporan Jabatan Pendaftar Wilayah Oren, hanya taman tema yang bukan ahli CAPA dikecualikan daripada panduan pembukaan baharu ini.

Gabenor California, Gavin Newsom baru-baru ini mengumumkan taman tema di negeri tersebut boleh dibuka semula mulai 1 April ini.

Tarikan permainan ekstrem di taman tema yang sering menjadi tumpuan pelancong diharap dapat membantu mengumpulkan semula ratusan juta pengunjung yang hilang semasa penutupan pusat hiburan itu selama setahun akibat penularan Covid-19 di AS.

Selain AS, taman-taman tema di Jepun turut mengenakan peraturan serupa ketika pembukaan pusat hiburannya pada musim panas lepas sebagai langkah mengekang penyebaran virus Covid-19 dalam kalangan pengunjung. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI