fbpx

Pentas Gila AJL35 Kaka, Loca, Noki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PASUKAN Gila. Noki, Kaka Azraff dan Loca B.

FRASA ini barangkali kedengaran klise, namun rezeki ternyata berpihak kepada Gila. Lagu ciptaan Ezra Kong, Noki dan Loca B tersebut menang bergaya mengenepikan saingan dua calon utama Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35), Semalam ciptaan Aina Abdul dan Belenggu Rindu (Hael Husaini dan Ezra Kong) yang masing-masing berada di posisi naib juara dan tempat ketiga.

Bukan peramal muzik jauh sekali ahli nujum, namun ketika Gila didengarkan buat kali pertama sewaktu pelancarannya, penulis seperti sudah nampak harapan bahawa karya berkenaan akan diraikan di tempat selayaknya.

KEASLIAN melodi Gila nyanyian Kaka, Loca B dan Noki menjadi menyumbang markah utama lagu berkenaan diangkat sebagai Juara Lagu AJL35.

Dengan segala kekangan dan limitasi ekoran Covid-19, bertempat di Auditorium Majlis Bandar Raya Shah Alam (MBSA), karya bernuansakan hip hop tradisional kontemporari tersebut dijulang sebagai juara!

Biarpun menjadi penglibatan pertama buat Loca B dan Noki serta kedua buat Kaka, ternyata rezeki tidak pernah salah alamat.

Seperti kelaziman dalam mana-mana acara anugerah, istilah rumah sudah siap, pahat masih berbunyi tetap berlaku. Keunggulan Gila dikatakan memberi kotonasi tidak molek buat pendengar, apatah lagi melodi dan liriknya juga berulang-ulang.

Ada juga yang berpendapat, Vokal Terbaik yang berpihak ke tangan Ernie Zakri sepatutnya menjadi milik Aina Abdul.

Memberi penjelasan berkenaan perihal itu, ketua juri, Datuk Mokhzani Ismail, berkata, kesemua finalis mempunyai kekuatan dan keistimewaan tersendiri, namun dari segi keaslian (originality) dan melodi, pencapaian Gila sangat bagus.

EZRA KONG bersama Loca B, Kaka dan Noki meraikan era muzik penuh kesukaran dengan sebuah kejayaan besar apabila diangkat sebagai penerima trofi Juara Lagu AJL35.

Keaslian

“Originality melodi markah paling besar dan Gila ada kelebihan dari aspek itu. Kemenangan Gila bukan bermakna 11 lagu lain tidak bagus. Semua lagu yang bertanding hebat.

“Adat bertanding, ada yang menang ada yang kalah. 7 Nasihat pun antara lagu yang mendapat markah tinggi, namun kalau anda dengar, melodinya ‘inspired’ daripada lagu lain.

“Jadi, keaslian melodi dikurangkan. Saya tak cakap lagu itu tidak bagus, tetapi ada lagu lain yang lebih layak diangkat sebagai Juara Lagu,” katanya pada sidang media secara visual usai AJL35.

Bercakap tentang keputusan Vokal Terbaik yang menyaksikan Ernie Zakri dengan Gundah menang kategori itu, Mokhzani, selain, Ernie ada dua penyanyi lain yang memungut markah tinggi.

“Ernie, Aina dan Aishah. Itu tiga penyanyi yang memberi persembahan vokal paling hebat dan mendapat markah paling tinggi. Bagaimanapun, Ernie paling minimum buat kesilapan dari segi teknikal. Vokal Ernie tak tinggi, dia sendiri akui hal itu.

“Ada penyanyi yang mempunyai potensi untuk menang tetapi kalau menyanyi tinggi-tinggi pun tak bermaksud paling bagus. Seperkara lagi, juri ambil kira bab penghayatan emosi.

“Ernie bukan sahaja tertib bab nyanyian tetapi emosi juga terjaga. Itu antara sebabnya mengapa dia diangkat sebagai vokal terbaik. Dia guru vokal, dia tahu mana dan bagaimana nak letak nota-nota di tempat yang sepatutnya,” ujarnya.

TIDAK berjaya meraih sebarang trofi, kemunculan Azlan & The Typewriter dengan lagu Jangan Khianati Aku lagu disifatkan tetap menang di hati peminat.

Semangat nenek

Dalam pada itu, Kaka yang dilihat sangat beremosi ketika mendendangkan lagu Gila bersama Noki dan Loca B memberitahu, begitu terkesan dengan pemergian nenek tersayang, Yang Asmah Long, 92, Khamis lalu.

“Kemenangan ini secara peribadi didedikasikan untuk arwah. Arwah menjadi sebab sebab mengapa saya saya di sini. Semasa kecil, dia yang ajar saya nyanyi dan dia peminat nombor satu saya.

“Saya menangis ketika diumumkan sebagai pemenang kerana nenek. Beberapa hari sebelum acara besar, saya kehilangan orang yang sangat bermakna dalam hidup, masakan tidak sedih.

“Namun saya bawa semangat nenek ke atas pentas. Ketika buat persembahan saya dapat rasakan kehadirannya. Alhamdulilah buat kemenangan ini. Terima kasih Ezra, terima kasih kasih Noki dan Loca B. Kerja keras kita berbaloi,” ujar Kaka.

Aina yang duduk di posisi naib juara berkata, dia tidak berasa ralat gagal menggondol trofi Vokal Terbaik, namun tumpuan utamanya ialah menghadirkan persembahan sebaik mungkin.

“Saya gembira untuk Ernie. Dia memang layak untuk menang vokal terbaik. Apa pun, kami bertanding bukan untuk menang. Saya percaya kita semua hanya ingin buat yang terbaik.

“Dapat tempat naib juara satu perkara yang manis buat saya. Semua orang tahu apa jadi tahun lalu kepada saya dan saya gembira dan bangga tahun ini. Kerja keras saya dan pasukan diiktiraf AJL35. Alhamdulillah,” ungkap Aina yang bertanding atas tiket lagu Sumpah tahun lalu, namun dikecam hebat kerana menghadirkan persembahan ‘berdarah’ atas pentas.

DILIHAT bersungguh-sungguh dengan idea dan konsep persembahan, Zizi Kirana tidak pulang kosong apabila Eh merangkul trofi Persembahan Terbaik AJL35.

Ketinggalan

Menyentuh soal kualiti penganjuran edisi kali ini, terdapat banyak ruang lompong yang sudah tiba masanya untuk diperbaiki.

Benar, kita diuji dengan bermacam perkara sejak tahun lalu namun itu bukan alasan seperti melepaskan batuk di tangga merealisasikan acara bertaraf ‘Grammy’ negara yang satu ini.

AJL35 sepertinya akur dengan beberapa skrip atau babak yang tidak sepatutnya berlaku. Misalnya, dalam tengah kehangatan pertandingan berlangsung, muncul pula ‘pertunjukan fesyen’ yang entah datang dari mana. Faham penaja ada hak, namun janganlah sampai membunuh ‘mood’ pertandingan.

Peranan hos rancangan juga perlu diperkemaskan. Usah bermain tarik tali dengan emosi penonton dengan lelucon-lelucon ‘berlebihan’ yang tiada inti komedinya.terbaik

Jaga prestij dan ‘kelas’ kerana ini pentas AJL, bukan acara picisan.

Bukan suratan atau kebetulan, kurang 10 jam selepas AJL35 menamatkan tirai, berlangsung pula Grammy Awards ke-63 nun di Los Angeles, California, Amerika Syarikat (AS). Kalau ingin dibandingkan kualiti, memang seperti langit dan bumi.

DUA penyanyi wanita paling menyerlah. Ernie (kiri) sekali lagi dijulang dengan trofi Vokal Terbaik, manakala Aina meraih perhatian menerusi Semalam sebagai Naib Juara AJL35.

Perihal-perihal teknikal seperti pergerakan kamera, sistem bunyi dan pementasan. Itu antara perkara yang saban tahun sepertinya tiada ‘rawatan’. Semua orang ingin melihat industri muzik Malaysia berkembang maju. Kalau tidak seperti AS, tengok bagaimana Indonesia sangat menjaga aspek tersebut.

Cukup mengerti dengan cabaran penganjuran acara hiburan tetapi jika diikutkan kita sepertinya sudah tiada sebarang pengiktirafan ‘terbaik’ melainkan AJL.

Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima, Datuk Khairul Anwar Salleh mengakui kekangan tersebut dan pihaknya telah melakukan yang terbaik.

“Edisi kali ini menjadi cabaran yang paling terbesar dalam sejarah penganjuran AJL ekoran pandemik Covid-19.

“Untuk merealisasikan sebagaimana yang telah dipersembahkan bukan satu kerja mudah.

“Penonton menjadi satu komponen sangat penting dalam acara berprestij namun hal itu tidak dapat digapai.

“Penganjur cuba melakukan yang terbaik. Harap musim akan datang keadaan akan berubah dan kita dapat kembali seperti kelaziman,” ujar Khairul Anwar.

 

MOKHZANI ISMAIL
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI