fbpx

Hamidin bakal lepas jawatan Presiden MFL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAMIDIN mahu memberi tumpuan penuh selaku Presiden FAM selepas menang tanpa bertanding pada Kongres FAM ke-57 petang tadi.

ENGGAN konflik kepentingan peribadi timbul menjadi punca Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin membuat keputusan untuk melepaskan jawatannya selaku Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) tidak lama lagi.

Keputusan itu dibuat oleh Hamidin sejurus diumumkan menang tanpa bertanding sekali gus mengekalkan jawatan tertinggi badan induk bola sepak negara itu pada Kongres FAM ke-57 di Putrajaya semalam.

Kata Hamidin, tempoh hampir dua tahun menggalas tugas selaku Presiden MFL sudah cukup buatnya untuk menerajui badan penganjur Liga Malaysia (Liga M) itu selain percaya akan ada pucuk pimpinan baharu yang lebih berkaliber selepas ini.

“Saya enggan dilabel sebagai tamak kuasa sekali gus menyebabkan isu konflik kepentingan peribadi juga timbul apabila memegang jawatan Presiden FAM dan Presiden MFL pada masa yang sama.

“Justeru, saya mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan sebagai Presiden MFL pada Kongres MFL yang akan datang tetapi perlu membuat penstrukturan dalaman terlebih dahulu.

“Saya percaya ini adalah langkah yang tepat kerana pasukan bola negara juga sudah berpisah daripada FA (persatuan negeri) ke FC (kelab) dan situasi yang sama juga perlu dibuat diperingkat MFL serta FAM.

“Saya pasti akan ada individu yang lebih layak untuk menerajui pucuk pimpinan MFL selepas ini tetapi saya boleh sahkan individu terbabit bukan dalam kalangan Exco FAM sedia ada,” katanya pada sidang akhbar semalam.

Hamidin telah menggalas jawatan Presiden MFL selepas Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim melepaskan jawatannya selaku Pengerusi MFL pada September 2019.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI