fbpx

Enggan tolak rezeki, Linda Hashim kembali berlakon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Linda bersama suaminya Beego.

PETALING JAYA – Selepas hampir empat tahun melepaskan segala tawaran lakonan kerana fokus kepada keluarga, pelakon Linda Hashim kini kembali berlakon dalam sebuah drama berjudul Rindu Yang Hilang.

Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagramnya, isteri kepada pelakon dan juga penyanyi, Beego itu memberitahu, dia terbuka hati untuk kembali berlakon memandangkan
anak-anak telah besar dan kadar bayaran yang ditawarkan juga agak lumayan.

“Banyak drama yang telah saya tolak. Tetapi sejak akhir-akhir ini bayaran pun sudah mencecah lima angka, rasa macam menolak rezeki pula apabila Allah SWT dah bagi.

“Orang lain sampai tak ada kerja nak bekerja. Memang rasa ralat sangat tolak rezeki Allah SWT,” ujarnya.

Menurut pelakon berusia 37 tahun itu, ketika menolak beberapa tawaran berlakon, dia mengakui berasa sedih kerana tidak dapat masuk set penggambaran dan berjumpa dengan kawan-kawan lama demi memikirkan anak-anak yang masih kecil.

“Hampir empat tahun tak pegang skrip. Maaf kepada produser-produser sebelum ini yang ada bertanya kepada saya, tetapi saya menolak atas sebab fokus jaga anak-anak,” ujar Linda.

Kini, pemilik nama sebenarnya Nor Hazlinda Hashim itu bersedia untuk kembali beraksi di hadapan kamera dan akan membahagikan masa sebaik-baiknya antara keluarga dan kerjaya.

“Terima kasih kepada ibu mertua dan suami yang sangat memahami. Semoga Allah SWT permudahkan urusan saya dan kita semua.

“Persoalannya sekarang ini, macam manalah rupa lakonan saya selepas hampir empat tahun tidak berlakon? Boleh ke tidak?” katanya.

Untuk rekod, Linda mendirikan rumah tangga bersama Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah pada 8 Jun 2013 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Jelita Clarissa, 6, Anggun Cassandra, 5 dan Indah Camelia, 2. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI