fbpx

Ashira sah bergelar isteri Bad Indigo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ashira dan Bad sah bergelar suami isteri petang tadi.

PETALING JAYA – Penyanyi Ashira menamatkan zaman jandanya selepas sah bergelar isteri kepada Bad Indigo atau nama sebenarnya Badrul Izhan Yeop Abdullah hari ini.

Ashira dinikahkan sendiri oleh bapanya, Syed Abdul Aziz Syed Alwi di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya kira-kira pada pukul 2.46 petang.

Ashira atau nama sebenarnya Sharifah Nur Ashira Syed Abdul Aziz, 37, menerima sebentuk cincin sebagai mas kahwin daripada pihak lelaki.

Bagaimanapun, jumlah wang hantaran dirahsiakan atas permintaan kedua-dua belah mempelai.

“Kami minta maaf kerana tidak dapat menjemput ramai tetapi kerana perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Lagipun pihak berkuasa menetapkan jumlah tetamu yang terhad dan hanya dihadiri sebahagian ahli keluarga terdekat kedua-dua belah pihak,” kata Ashira dalam satu hantaran video kepada media.

Pada masa sama, Bad berkongsi tentang penerimaan dua orang anaknya terhadap kehadiran Ashira sebagai ibu tiri mereka.

“Anak-anak terbuka menerima Ashira. Alhamdulillah, mereka sudah mula memanggilnya sebagai mom (ibu). Begitu juga dengan anak Ashira, yang turut menerima saya dengan baik,” kata Bad.

Mereka juga tidak menolak jika dikurniakan cahaya mata dalam masa terdekat.

Terdahulu, bibit percintaan mereka dikongsi secara eksklusif oleh pelantun lagu Di Ombak Resah itu kepada Kosmo! sekitar awal tahun ini.

Masing-masing mula jatuh hati ketika sama-sama menyertai program Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) pada tahun lalu.

Perkahwinan kali ini sekali gus menjadi pernikahan kedua buat Ashira dan Bad.

Sebelum ini, Ashira pernah mendirikan rumah tangga pada 2006 namun bercerai pada 2015. Hasil perkahwinan tersebut, Ashira dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Megat Shazril Haziq Hadi, 15.

Bad pula pernah bernikah pada 2007 dan bercerai tiga tahun kemudian. Hasil perkahwinannya, dia dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Rayyan, 12 dan Rania, 11. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI