fbpx

Lagu kesepian hidup Rief Daniel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RIEF DANIEL

PERNAH menghasilkan dua buah single sebelum ini, penyanyi Rief Daniel tidak berputus asa untuk menempatkan diri dalam dunia muzik, sebaliknya mengagahkan hati muncul dengan single ketiga berjudul Aku Solo.

Menerusi Aku Solo, pemilik nama Arief Daniel Zayadi berharap usaha kali ini akan mendekatkan langkahnya menjadi penyanyi yang berjaya.

Biarpun masih bergelar pelajar di salah sebuah institusi pengajian tinggi, lamaran untuk bernaung bawah syarikata Plan E Solutions disahut dan mahu digunakan sebaik mungkin demi kerjaya, sekali gus mengubah masa depan karier muziknya.

Bercerita tentang Aku Solo, Rief mengakui lagu berkenaan berkisarkan seseorang yang tidak mempunyai teman hati dan kesunyian kerana tiada sokongan daripada seorang yang bergelar kekasih. Biarpun begitu, dia masih tersenyum menyimpan isi hati yang terpendam.

SELALU berasa kesunyian disebabkan tiada kekasih, Rief tidak menyangka perkongsian luahan hatinya kepada Yonnyboii mencetuskan penghasilan single terbaharunya berjudul,
Aku Solo.

Penghasilan lirik dan melodi lagu berkenaan tercetus apabila Rief Daniel berkongsi hal peribadinya bersama Yonnyboii atau Nuriman.

“Suatu hari, saya pergi ke rumah Yonnyboii untuk menghasilkan sebuah lagu.

“Yonny bertanya tentang hal peribadi saya dan saya menceritakan semuanya. Dia nampak apa yang saya sedang hadapi, padahal saya sendiri tidak tahu bahawa saya berasa kesunyian kerana tiada pasangan.

“Saya menceritakan semua masalah saya tetapi dia hanya nampak masalah pasangan yang dihadapi oleh saya,” ujar penyanyi berusia 24 tahun itu.

Semasa proses rakaman, Rief mula mahu mengubah cara nyanyian mengikut rentak lagu kerana sebelum ini dia cenderung ke arah rentak balada, namun Yonnyboii merasakan kehadiran Rief memberi impak yang positif dan kegembiraan kepadanya lalu terhasillah sebuah karya bernuansa pop.

“Alhamdulillah, selepas saya dapat rentak nyanyian dan cara saya tersendiri dalam lagu ini, saya dapati bahawa lagu ini memang kena sangat dengan diri saya. Aku Solo juga mempunyai melodi yang sangat unik yang boleh menangkap perhatian pendengar,” kata Rief.

Menaruh harapan agar lagu berkenaan mampu dihadam dan dinikmati semua pendengar, Rief juga memahatkan impian agar karier akan bergerak lancar seiring krisis Covid-19 yang seperti menunjukkan penyelesaian.

RIEF berharap percubaan ketiga menerusi Aku Solo akan membuahkan hasil.

“Percayalah, anda akan rasa apa yang saya rasa. Saya juga berharap agar semua pendengar dapat menerima lagu ini dengan baik. Harap dengan izin Allah, lagu ini akan diminati ramai dan boleh memberi impak yang positif dan kuat kepada pendengar.

“Sama-sama kita menyuarakan apa yang kita rasa,” ujar Rief.

Sempat berseloroh sebelum menutup perbualan, kata Rief, Aku Solo hanya mengambil tidak sampai dua minit daripada masa semua pendengar, mungkin itulah lagu terpendek setakat ini.

Aku Solo kini tersedia dalam semua platform muzik digital seperti Spotify, Apple Music, iTunes, KKBox, Deezer dan Joox. Video muziknya juga telah dilancarkan menerusi saluran YouTube Universal Music Malaysia sejak 26 Februari lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI