fbpx

Pencemaran Sungai Kim Kim libatkan warna sahaja – Menteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tuan Ibrahim (kiri) menunjukan tangkungan air bersama Wakiman Sarno (kanan) dalam Majlis Penyerahan Projek Pertama Wakaf Air Kepada Penduduk Kampung Melayu Seelong, Senai, Johor Bahru di sini hari ini.

KULAI – Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memaklumkan pencemaran Sungai Kim Kim yang dilaporkan sebuah akhbar hari ini hanya melibatkan pencemaran warna air sungai sahaja.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pencemaran tidak melibatkan pencemaran bau sebaliknya hanya warna air sungai menjadi hitam dan pekat, namun keadaan itu masih boleh dikawal.

“Ketika ini sampel air telah diambil untuk disiasat. Puncanya berkemungkinan daripada pelbagai pihak termasuklah sisa buangan dari kilang kerana tempat itu merupakan kawasan perindustrian.

“Kementerian juga telah mengarahkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri untuk memantau aktiviti pencemaran di kawasan sekitar dari udara dengan menggunakan dron,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan sempena Majlis Penyerahan Projek Pertama Wakaf Air kepada penduduk di Kampung Melayu, Seelong, Senai, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi dan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman.

Terdahulu, Tuan Ibrahim berkata, KASA akan menyerahkan empat lagi projek perintis Tabung Wakaf Tunai Khas Perkhidmatan Air (Wakaf Air) kepada penerima dalam tempoh Mac hingga April tahun ini melibatkan negeri Selangor, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan.

Menurutnya, pelaksanaan projek Wakaf Air ini dijayakan menerusi hasil sumbangan pelbagai pihak termasuk individu perseorangan.

“Projek perintis Wakaf Air ini ada lima, satu daripadanya telah siap dan diserahkan kepada 16 keluarga penerima di Kampung Melayu, Seelong, di sini hari ini.

“Sementara itu, empat lagi membabit seramai 200 penduduk di Selangor, sebuah surau di Perak, 100 di Pahang dan 200 yang lain di Negeri Sembilan,” katanya.

Menurut Tuan Ibrahim lagi, projek wakaf yang dilancarkan pada 17 Disember lalu telah berjaya mengumpul sebanyak RM2.4 juta sumbangan pelbagai pihak. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI