JOHOR BAHRU – Geng kongsi gelap dikesan mempunyai hubungan diplomasi dengan orang kenamaan (VIP) dan ahli politik bergelar Tan Sri atau Datuk Seri bagi mengukuhkan pengaruh di kawasan jajahan yang dikuasai mereka dalam kegiatan jenayah.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ahli kumpulan gengster juga dipercayai mengadakan hubungan ‘diplomatik’ dengan badan bukan kerajaan (NGO).
Menurutnya, taktik itu dilakukan bagi memastikan kumpulan mereka mendapat ‘suaka politik’ serta perlindungan NGO untuk mengaburi mata masyarakat serta pihak berkuasa.
“Ada ahli kumpulan kongsi gelap yang cuba berbaik-baik dengan ahli politik atau VIP yang ada pangkat Tan Sri, Datuk Seri dan sebagainya yang mempunyai pengaruh dalam masyarakat.
“Mereka juga bukan sahaja berbuat baik dengan NGO, malah menyalurkan bantuan untuk menjaga hubungan antara kedua-dua pihak.
“Taktik ini adalah untuk ‘mencuci’ nama mereka supaya dilihat sebagai seorang yang baik dalam kalangan masyarakat,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Ayob Khan memberitahu, segelintir ahli gengster yang mempunyai pengaruh dalam kumpulan itu sanggup membeli gelaran Datuk Seri atau Datuk.

Katanya, taktik itu adalah ‘permainan’ licik kumpulan penjenayah terbabit untuk membuatkan pihak berkuasa berasa gerun atau takut untuk mengambil tindakan terhadap mereka.
“Bagi saya mudah, polis tidak akan ambil tindakan sewenang-wenangnya, tetapi kalau lakukan jenayah, buat kacau, mengganggu keharmonian dalam masyarakat, itu kita akan bertindak tegas.
“Tidak kiralah siapa mereka, VIP ke, abang long ke, ayahanda ke, buat jenayah kita tangkap,” tegasnya.
Menurutnya, polis percaya keahlian geng kongsi gelap sehingga kini sekitar 500 ahli melibatkan keseluruhan gengster yang aktif bergerak di negeri itu.
Muka depan Kosmo! semalam melaporkan kumpulan kongsi gelap dikesan aktif merekrut ahli untuk melakukan aktiviti jenayah pemerasan selain memaksa ahlinya menjadi keldai dadah.
Keterujaan untuk merekrut lebih ramai ahli baharu memaksa kumpulan kongsi gelap ‘melonggarkan’ syarat kemasukan dengan hanya perlu membayar yuran pendaftaran serendah RM2.10.
Yuran itu adalah simbolik kepada persetujuan menjadi ahli dan berbeza dengan proses sebelum ini apabila anggota baharu perlu menghadiri upacara angkat sumpah dan menjalinkan hubungan brotherhood.

yang dipercayai ada kaitan dengan geng kongsi gelap selepas sidang akhbar
di Johor Bahru pada
6 Februari
lalu.














