fbpx
BIARPUN semakin menginjak usia senja, Osman masih gemar berfoya-foya dengan wanita lain. – gambar hiasan

K2

Noktah derita 40 tahun bersuamikan buaya darat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

WALAUPUN sudah berpangkat nenek, Sakinah (bukan nama sebenar) tidak kisah bergelar janda atau ibu tunggal selepas perkahwinan yang dibina bersama Osman (bukan nama sebenar) berakhir dengan perceraian.

Wanita yang kini memasuki usia 60-an itu sudah tidak sanggup lagi hidup bersulam air mata bertemankan lelaki buaya darat, kaki minum dan kaki pukul.

“Sebut saja apa yang tidak pernah dia buat, sudah tua pun masih lagi bermain gadis pelayan pelanggan (GRO), mabuk dengan kawan-kawan yang lebih muda, berfoya-foya umpama orang bujang.

“Mungkin dia masih tak sedar-sedar ‘rumah kata pergi, kubur kata mari’, terlalu leka dengan hal duniawi sedangkan dirinya sendiri pun sudah dimamah usia,” kata Sakinah kepada K2.
Cerita Sakinah, dia tidak pernah merasa erti bahagia sepanjang perkahwinan hampir 40 tahun dengan Osman.

Manakan tidak, Osman disifatkan alpa terhadap tanggungjawab sebagai suami serta bapa kepada lima orang anak mereka yang kini sudah meningkat dewasa dengan tiga daripadanya telah mendirikan rumah tangga bersama pilihan masing-masing.

Menurut Sakinah, Osman tidak pernah menghulurkan nafkah untuk perbelanjaan mereka seakan-akan keluarga itu tidak wujud di matanya.

“Hidup saya serupa seperti janda dari dahulu lagi. Sayalah mak dan ayah untuk anak-anak yang bersusah-payah membesarkan kelima-lima anak dengan hasil duit berniaga.

“Nafkah tidak pernah diberikan sampaikan segala bil-bil di rumah, barang keperluan dapur, persiapan sekolah anak semua saya yang tanggung dan uruskan.

“Belanja anak, yuran sekolah, ambil buku kemajuan, hadiri hari kecemerlangan dan hari sukan pun saya yang perlu uruskan,” ceritanya sebak.

Sakinah berkata, Osman sering tiada di rumah dan menjadikan rumah mereka sebagai tempat persinggahannya sahaja.

“Apabila malam tiba, dia lebih suka menghabiskan masa di kelab-kelab malam daripada meluangkan masa bersama keluarga.

“Begitulah kehidupan kami daripada anak-anak kecil sehinggalah mereka dewasa. Apabila saya tanya kepadanya, memang dia cepat naik tangan.

“Saya juga dipukul dan ditendang di depan anak-anak jika tanya dia pergi ke mana, dengan siapa, kenapa balik lewat, sehinggakan anak-anak pun takut,” katanya.

 

 

OSMAN yang gemar berkunjung ke kelab-kelab malam akan cepat naik tangan kepada isterinya jika ditanya kenapa selalu pulang lewat dan mengabaikan keluarga. – gambar hiasan

Semakin lama, hatinya makin sakit dan Sakinah mula memberontak dalam diam kerana dia sudah tidak dapat memendam perasaan kecewa serta sedih terhadap kelakuan suami yang sepatutnya menjadi contoh kepada keluarga.

Tambahan pula, suami yang berkerjaya sanggup berbelanja untuk menanggung perempuan-perempuan simpanannya hingga mengetepikan hal ehwal keluarga dan anak-anak.

“Meskipun anak-anak semua sudah ada kehidupan sendiri, saya masih lagi diulit dengan masalah yang tiada kesudahan kerana perangainya masih tidak berubah,” katanya.

Kata Sakinah, kecurangan bekas suaminya itu sebenarnya telah dikesan beberapa kali ekoran sikapnya yang suka befoya-foya di kelab malam.

“Jika suami ada di rumah sekalipun, dia memang lebih suka meluangkan masa bersama ‘kekasih gelapnya’. Yang dia tahu pegang telefon bimbit 24 jam melayan ‘betina-betina’ itu,” katanya.

Sakinah berkata, dia ada juga cuba mengambil telefon bimbit suaminya itu untuk diperiksa dan alangkah terkejutnya selepas melihat beberapa nama wanita tidak dikenali.

“Saya tahu, benda ini sudah lama, tetapi saya tidak tahu apa yang patut dilakukan ketika itu. Nak dikatakan selama ini saya tidak layan dia atau beri makan minum, semuanya saya buat sebagai seorang isteri.

“Tapi bila berlaku masalah rumah tangga sebegini, memang saya pendam dan makan hati dengan sikap suami. Selama ini, saya bertahan pun sebab ingin jaga nama baik keluarga dan anak-anak,” ujarnya.

Sakinah memberitahu, jika di hadapan kawan-kawan dan saudara-mara, sikap dan perwatakan Osman boleh berubah 360 darjah hingga ‘orang luar’ menganggap mereka keluarga yang bahagia.

“Saya terpaksa berlakon seolah-olah semuanya okay di depan kawan-kawan dan saudara-mara sampaikan anak pun marah juga dengan saya kenapa mahu berlakon dan meneruskan kehidupan bersama ayah mereka.

“Anak pernah memberitahu bahawa saya ada pilihan, namun untuk bercerai sangat susah untuk saya ambil,” katanya.

Begitupun, apabila masalah rumah tangga mereka tidak berkesudahan, Sakinah akhirnya nekad memfailkan permohonan cerai dan mereka disahkan bercerai di sebuah mahkamah syariah di Lembah Klang baru-baru ini.

Katanya, dia nekad membuat keputusan tersebut atas sebab anak-anak sudah besar dan tiada apa lagi nak diselindungkan daripada pengetahuan keluarga.

“Setelah lama saya mengharungi suka-duka perkahwinan yang tidak mendatangkan bahagia ini, saya tekad untuk mohon cerai.

“Biar suami tahu, langit itu tinggi ataupun rendah.

Sepatutnya bila dah makin berusia ini, lebihkan amal ibadat. Tetapi itu tidak dipandang suami, hanya keseronokan duniawi yang dia tahu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN