BACHOK – Seorang penduduk di Pantai Kemayang tidak dapat lena tidur apabila teringatkan mengenai penemuan satu mayat yang sudah reput di kawasan pantai itu pada 19 Februari lalu.
Menurut Suhaini Zulkifl, 33, pada pagi hari kejadian, dia telah membawa anak bongsunya ke kawasan pesisir pantai berkenaan.
“Kaki anak saya gatal-gatal dan tidak diketahui puncanya, jadi, saya bawa dia ke pantai dan menjirus air laut pada kakinya sebelum pulang semula ke rumah yang terletak kira-kira 100 meter dari pantai.
“Kira-kira pukul 5 petang pada hari sama, penduduk kampung kecoh apabila menemui mayat itu. Rupa-rupanya lokasi mayat itu ditemui berdekatan dengan tempat saya dan anak pergi ke pantai pada waktu pagi,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Suhaini berkata, selepas mengetahui kejadian itu, dia tidak dapat lena tidur selama dua hari kerana asyik teringatkan mayat tersebut yang dilihat melalui gambar yang diambil penduduk.














