fbpx

Proton rekod penguasaan pasaran tertinggi bulan Februari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Proton merekodkan paras penguasaan pasaran tertinggi yang pernah dica­painya dalam tempoh tujuh tahun sejak September 2013 pada Februari lalu, iaitu sebanyak 27.1 peratus menerusi jualan 11,873 unit kenderaan.

Ia merupakan peningkatan dua kali ganda berbanding jualan sebanyak 5,964 unit kenderaan pada Januari lalu dan peningkatan 19.9 peratus berbanding Februari 2020.

Saga kekal sebagai model terlaris Proton dengan 4,217 unit terjual manakala sebanyak 3,345 unit X50 dihantar kepada pembeli pada Februari 2021 yang mana ia merupakan jumlah jualan bulanan terbanyak bagi sebuah model kenderaan utiliti sukan (SUV) di negara ini.

Persona merupakan model Proton ketiga paling laris dengan jualan 1,818 unit.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, usaha kerajaan untuk memastikan aktiviti ekonomi berterusan semasa printah kawalan pergerakan (PKP) membolehkan syarikat menghasilkan lebih banyak kenderaan, seterusnya mengurangkan tunggakan pesanan.

“Ini amat penting kerana kami perlu menghantar kenderaan kepada pembeli secara konsisten untuk mengelakkan kejutan apabila insentif (pengecualian cukai) Penjana berakhir pada 30 Jun.

“Segmen automotif akan terus menarik perhatian pada 2021 dengan banyak pelancaran baharu dari pelbagai jenama, sekali gus mendorong saingan antara Proton dan syarikat lain,” kata­nya dalam kenyataan semalam.

Menurut Roslan, untuk tahun 2021, pihaknya akan memberi tumpuan kepada pemulihan rantaian nilai selepas jualan agar pe­langgan dapat menikmati pengalaman jenama premium selepas membeli kenderaan mereka.

Beliau turut mengakui masih terdapat beberapa aktiviti perniagaannya yang tidak mencapai tahap kecemerlangan yang sama seperti pertumbuhan jualan dan penambahbaikan kualiti kende­raan Proton sejak beberapa tahun lalu.

 

“Walaupun kualiti penge­luaran, imej jenama dan teknologi yang ditawarkan dalam kenderaan kami telah meningkat, perkhidmatan selepas jualan Proton tidak berjaya maju ke hadapan pada kadar yang sama.

“Memburukkan lagi keadaan adalah wabak Covid-19 dan keputusan untuk melabur dalam sistem pesanan dan hantaran yang baharu pada 2020.

“Akibatnya, kami telah mengalami masalah integrasi dan ini menyebabkan kelewatan bagi pelanggan yang memerlukan khidmat pembaikan selepas kemalangan serta khidmat servis dijadualkan.

“Proton sedang bekerja tanpa henti untuk mengatasi situasi ini secepat mungkin dan saya meminta semua pelanggan yang mengalami kelewatan untuk membuat panggilan ke talian perkhidmatan pelanggan kami di 1-800-88-8398,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI