fbpx

Nelayan Vietnam cedera selepas serang anggota APMM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amran (kanan) melakonkan semula aksi nelayan Vietnam yang menyerang anggota penguat kuasa APMM pada sidang akhbar di Pengkalan Maritim Kemaman hari ini.

KEMAMAN – Pasukan penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM) berdepan tindakan agresif sekumpulan nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negara pada semalam.

Dalam kejadian yang mencederakan seorang anggota penguatkuasa APMM pada pukul 5.25 pagi itu, pihak berkuasa berkenaan terpaksa melepaskan tembakan amaran ke arah bot tersebut menyebabkan tiga nelayan negara jiran itu turut cedera terkena serpihan.

Insiden serangan terhadap pasukan penguat kuasa APMM tersebut berlaku kira-kira 80 batu nautika dari tenggara Tanjung Gelang, Pahang.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim, Datuk Amran Daud berkata, sebelum kejadian, Kapal Maritim(KM) Satria yang sedang melakukan rondaan telah terserempak dengan dua bot nelayan Vietnam sedang leka menangkap hasil laut di perairan negara.

Beliau berkata, kedua-dua bot nelayan asing itu cuba melepaskan diri dengan memecut laju sebelum berjaya dipintas KM Satria kira-kira tiga jam kemudian.

“Sewaktu pasukan geledah APMM cuba merapat salah sebuah bot berkenaan, beberapa awak-awak bertindak agresif dengan membaling objek keras dan tajam seperti besi pemberat pukat seberat lebih 10 kilogram, besi penyodok, tukul besi dan parang.

“Salah seorang anggota penguat kuasa nyaris maut apabila terjatuh dari ketinggian tiga meter selepas dilibas dengan parang oleh salah seorang nelayan asing itu,” katanya pada sidang akhbar di Pangkalan Maritim Kemaman di sini hari ini.

Amran berkata, anggota penguat kuasa APMM tersebut mengalami kecederaan di beberapa anggota badan impak daripada terjatuh.

Tambah beliau, APMM tiada pilihan apabila berdepan dengan tindakan agresif berkenaan selain melepaskan tembakan amaran ke arah bot nelayan Vietnam tersebut sebagai mempertahankan diri.

“Serpihan tembakan yang dilepaskan itu telah mencederakan tiga nelayan Vietnam tersebut termasuk tekong bot yang kesemuanya berusia 30 tahun.

“Tiga nelayan asing yang cedera telah dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Kuantan, Pahang sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan untuk menerima rawatan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI