fbpx
Sistem lepas bebas yang masih diamalkan sebahagian penternak boleh mengundang pelbagai masalah seperti ancaman binatang buas dan kemalangan jalan raya. - Gambar hiasan

Hapuskan segera sistem lepas bebas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
MOHD. AZLI ADLAN,
WARTAWAN EKSEKUTIF

DUA isu melibatkan penternakan haiwan ternakan khususnya lembu hangat diperkatakan di Terengganu sejak akhir-akhir ini.

Pertama, serangan harimau di Felda Kerteh 4, Dungun dan Kampung Lubuk Periuk, Hulu Terengganu yang setakat ini telah membunuh 43 ekor lembu ternakan di kedua-dua kawasan dalam tempoh setahun.

Walaupun harimau digelar Awang Rasau yang mengganas di sekitar Felda Kerteh 4 sudah berjaya ditangkap minggu lalu, dua ekor lagi Pak Belang masih bebas dan membelenggu penternak Kampung Lubuk Periuk.

Isu kedua pula melibatkan kemalangan disebabkan haiwan ternakan yang dibiarkan berkeliaran sehingga membahayakan pengguna jalan raya di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2).

Kemuncaknya ialah kemalangan yang mengorbankan sembilan ekor lembu selepas dirempuh dua kenderaan di di LPT2 berhampiran Kijal, Kemaman pada hujung bulan Januari lalu.

Kedua-dua isu tersebut bukanlah baharu dan telah berlarutan sejak sekian lama.

Jika diselidiki, ia sebenarnya berpunca daripada sistem penternakan lepas bebas yang masih diamalkan kebanyakan penternak di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dr. Azman Ibrahim mengakui pendekatan lepas bebas merupakan duri dalam daging kepada industri penternakan haiwan ternakan negeri itu sejak sekian lama.

Beliau berkata, selain risiko kemalangan yang boleh meragut nyawa dan serangan haiwan buas, haiwan ternakan yang dibiarkan berkeliaran tersebut juga dikhuatiri membawa penyakit berjangkit.

“Sebenarnya dalam istilah penternakan, sistem lepas bebas yang membiarkan haiwan ternakan berkeliaran tidak boleh dianggap sebagai salah satu sistem penternakan.

“Lebih dikesalkan, segelintir penternak masih culas tidak mematuhi protokol meletakkan tanda pengenalan kepada setiap haiwan ternakan berdaftar,” katanya baru-baru ini.

Azman menegaskan, enakmen konkrit perlu dipinda bagi mengatasi kelompongan agar Jabatan Perkhidmatan Veterinar dapat mengambil tindakan lebih tegas terhadap pemilik haiwan yang membiarkan ternakan mereka berkeliaran.

Seorang penternak, Sumani Mohammad mendakwa, mereka tiada pilihan lain selain mengamalkan sistem lepas bebas ekoran kekurangan modal dan ketiadaan tanah untuk menyediakan kandang.

Beliau berkata, sebahagian penternak telah sedaya upaya meletakkan haiwan ternakan masing-masing di kawasan luas yang jauh dari jalan besar dan penempatan penduduk bagi mengurangkan risiko.

“Bukan kami tidak pernah mengambil inisiatif mendapatkan bantuan agensi berwajib bagi mengatasi masalah ini.

“Banyak kertas kerja telah dikemukakan tetapi ditolak mentah-mentah atas pelbagai alasan,” katanya.

Sementara itu, inisiatif sekumpulan penternak yang menganggotai Koperasi Asas Tani Batu Rakit Terengganu Berhad (Kopstar) membuka padang ragut bagi membekalkan rumput sebagai makanan kepada haiwan ternakan boleh dijadikan teladan.

Setiausaha Kopstar, Abd. Rahman Yusoff berkata, pembukaan padang ragut seluas 20.25 hektar di Bukit Wan, Lingai, Kuala Nerus itu bertujuan menyelesaikan isu haiwan ternakan berkeliaran.

BERITA BERKAITAN