SEAWAL pukul 6.30 pagi, dua sahabat iaitu Ismail Md. Ali, 31, dan Mohd. Ridzuan Mohd. Rashidi, 36, bersedia dengan peralatan seperti tali kapal, guni, penukul, taji, gergaji kecil, parang dan pisau untuk mencari pokok paku aji di Gunung Pulai di Baling, Kedah.
Tidak lupa juga bekalan air kopi pekat dan air mineral untuk membasahkan tekak dan dua bungkus nasi lemak bagi mengalas perut ketika berada gunung tersebut. Biasanya mereka hanya akan turun pulang pada waktu petang.
Dengan menggunakan motosikal kapcai, mereka meredah kabus pagi untuk ke kaki gunung yang jaraknya kira-kira 500 meter dari rumah.
Tanpa membuang masa, mereka terus memulakan pendakian dengan penuh berhati-hati. Bagi laluan pendakian yang sering digunakan oleh penduduk kampung, ia tidak menjadi masalah kepada mereka.
Namun, untuk sampai ke tempat pokok itu tumbuh, pendakian diteruskan melalui celah-celah batu yang tajam dengan menjadikan akar pokok sebagai tempat pegang dan bergantung.

Menurut Ismail, bukan mudah untuk sampai ke tempat pokok paku aji kerana pokok dari spesies paku-pakis itu tumbuh di kawasan yang sukar untuk dicapai.
“Kebanyakan pokok paku aji di kawasan yang mudah didaki dan selamat sudah habis diambil oleh pencari terdahulu.
“Pada masa ini, kami terpaksa mencarinya di tempat-tempat yang lebih tinggi iaitu pada ketinggian kira-kira 300 meter dengan risiko struktur batu kapur yang rapuh dan tajam selain lokasi curam,” katanya kepada K2.
Ujarnya, selain menoreh getah dan melakukan kerja-kerja kampung, mencari dan menjual pokok paku aji menjadi satu-satunya sumber pendapatan yang agak lumayan sejak lima tahun lalu.
“Pemilihan pokok paku aji yang mempunyai nilai estetika dan komersial tinggi termasuk mempunyai bentuk pangkal perdu serta cabang yang banyak dan unik sahaja akan dibawa turun.
“Jika pokoknya cantik dan unik dengan bentuk ubi atau batangnya seperti buyung, burung, naga dan sebagainya, harga boleh mencecah sehingga ribuan ringgit,” ujarnya.
Kata Ismail, pembeli sanggup membayar dengan harga tinggi jika bentuknya menarik dan ada yang sanggup membayarnya sehingga RM3,000 untuk seperdu pokok.

“Saya pernah menjual sepokok paku aji dengan harga RM2,700 dan wang yang diperolehi itu saya bahagi dengan kawan-kawan yang mengikut mencari pokok paku aji ini.
“Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu, kami kerap ke Gunung Pulai, Gunung Bendera dan Gunung Padang Che Mas. Boleh dikatakan tiga atau empat hari seminggu, kami mendaki gunung untuk mencari pokok paku aji,” ceritanya.
Ujarnya, cabaran paling utama adalah apabila mahu membawa turun pokok paku aji bersaiz besar. Semakin berat pokok, semakin sukar untuk dibawa turun.
“Proses menurunkan pokok ini perlu berhati-hati bagi mengelakkan ubi atau batang pokok rosak, lebam atau patah,” katanya.
Ceritanya lagi, dia pernah menurunkan pokok paku aji dengan berat 200 kilogram (kg) dan tingginya hampir dua meter bersama enam rakan.
“Bagi mengelakkan kecederaan pada ubi atau batang pokok itu, kami perlu membalutnya dengan kain tebal sebelum memasukkannya ke dalam guni seterusnya membawanya turun dengan berhati-hati,” kata Ismail.
Jelasnya, proses membawa turun tidak dapat dilakukan pada hari yang sama atau seorang diri yang mana ia mungkin mengambil masa dua atau tiga hari bergantung kepada keadaan dan tempat pokok itu dijumpai selain memerlukan ramai pembantu.
Ujarnya lagi, pencari pokok paku aji bagaikan bergadai nyawa untuk mengambil tumbuhan tersebut kerana ada dalam kalangan mereka yang tercedera , malah adiknya sendiri meninggal dunia akibat terjatuh dari tempat tinggi dan terhempas ke batu.
“Adik saya, Allahyarham Amir Hakimi meninggal dunia November tahun lalu ketika mencari pokok paku aji ini bersama sepupu dan rakan-rakannya.
“Pada masa itu saya tidak ikut kerana ada urusan lain. Saya dimaklumkan arwah terjatuh pada ketinggian kira-kira 100 meter ketika hendak turun selepas mencari pokok aji,” ujarnya.
Selain daripada keadaan kawasan yang berbahaya katanya, pencari pokok paku aji juga terdedah kepada ancaman spesies ular seperti ular kapak gunung yang berbisa.

Ismail berkata, setiap pokok yang dibawa turun akan dibersihkan dan ditanam di halaman rumahnya sementara menunggu peminat pokok itu datang membeli.
Selain pembeli luar, dia juga menjualnya kepada beberapa penduduk kampung yang bertindak sebagai peraih.
Biasanya pokok yang dibawa turun itu tidak disimpan lama kerana ada peminat tersendiri bukan sahaja dari negeri ini, malah sehingga dari Selangor dan Terengganu.
Aktiviti mencari pokok paku aji bukanlah suatu yang asing dalam kalangan penduduk sekitar bahkan ia telah dilakukan sejak sekian lama.
Pokok ini mempunyai ramai peminat untuk dijadikan landskap rumah, hotel dan sebagainya.
Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Siong, Mohamad Amin Rizan, 17, turut menjadikan pencarian pokok paku aji sebagai hobinya apabila tiba waktu cuti sekolah dengan mengikut bapanya, Rizan Bakar, 48.
“Saya mengikut bapa mendaki Gunung Pulai, Gunung Bendera dan Gunung Padang Che Mas sejak usia 11 tahun dan amat tertarik dengan kepelbagaian bentuk pokoknya yang unik.
“Saya membantu bapa mencari pokok paku aji dan membantunya menjual secara dalam talian, ada juga pembeli yang datang sendiri melihat pokok-pokok yang ada dan membelinya apabila berkenan di hati,” kata Mohamad Amin.
Katanya lagi, pokok paling mahal yang mahu dijualnya ialah berharga RM5,000 kerana mempunyai bentuk cabang tiga yang menarik.
“Setakat ini hampir 15 orang pembeli yang ingin membelinya, namun harga yang mereka minta terlalu rendah. Sekiranya ada pembeli yang menawarkan pada harga yang lebih tinggi, mungkin saya akan menjualnya,” ujarnya.
Sementara itu, penduduk Kampung Dalam Wang, Zulkifli Abu Bakar, 46, berkata, dia lebih banyak membeli pokok paku aji daripada penduduk kampung berbanding mencarinya.
“Saya giat mencari pokok paku aji ini bersama anak-anak sejak 15 tahun lalu, namun berhenti sejak empat tahun lalu.
“Sehingga kini terdapat hampir 200 pokok yang ditanam di sekeliling rumah dan bersedia untuk dijual kepada pembeli dan peminat pokok paku aji,” kata Zulkifli.
Menurutnya, dia sudah mempunyai beberapa pembeli tetapi mereka tidak dapat datang ke Kedah kerana larangan rentas daerah dan negeri.
“Harga pokok bergantung kepada kecil atau besar serta keunikan bentuknya bermula serendah RM25 hingga RM5,000 sepokok,” katanya.
Ujarnya, dia terpaksa menanggung risiko apabila membeli pokok-pokok yang baru dibawa turun oleh penduduk kampung.
“Kadang-kadang pokok yang baharu ini rosak pada ubi atau batangnya dan apabila kita menanamnya ia menjadi buruk dan dimakan oleh serangga perosak.
“Saya terpaksa menanggung kerugiannya apabila pokok itu mati atau reput sedangkan kos membelinya antara RM30 hingga RM500 bergantung kepada saiz dan keunikan pokok itu,” kata Zulkifli.
Katanya lagi, pendapatan jualan pokok paku ajinya itu terjejas teruk sejak PKP tahun lalu kerana modal yang dikeluarkan untuk membeli pokok tersebut daripada orang kampung agak tinggi, namun pulangannya masih tiada.
“Jualannya juga tidak menentu, kadang-kadang tiada langsung dalam masa sebulan dan terpaksa bersaing dengan penduduk kampung lain yang menjualnya secara dalam talian.
“Nasib saya baik kerana sebelum PKP, sebanyak 10 pokok dibeli oleh seorang peminat dengan nilai keseluruhan RM7,000,” katanya.














