fbpx
Mayat seorang pembantu kedai makan ditemui ahli keluarga di dalam bilik tidurnya di sebuah rumah di Taman Bestari Rakyat, Bukit Kuang di Kemaman hari ini.

Tak sedar ahli keluarga sudah dua hari meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN – Seorang pembantu kedai makan yang sudah dua hari tidak keluar dari bilik tidurnya rupa-rupanya sudah meninggal dunia di Taman Bestari Rakyat, Bukit Kuang di sini hari ini.

Kematian lelaki berusia 38 tahun itu hanya disedari ahli keluarganya apabila mahu memanggilnya makan tengah hari pada pukul 1.30 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, lelaki itu ditemui dalam keadaan terbaring di bilik tidurnya yang terletak di belakang rumah didiami mereka.

“Salah seorang ahli keluarga mangsa cuba memanggilnya tetapi tiada sahutan selain dia juga terhidu bau busuk.

“Sebaik pintu bilik itu dibuka, lelaki tersebut didapati sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Hanyan berkata, pemeriksaan mendapati mayat lelaki itu sudah membengkak dan sedang dalam proses pereputan.

“Berdasarkan keadaan mayat si mati sewaktu ditemui, dia mungkin telah meninggal dunia dalam tempoh sekurang-kurangnya dua hari.

“Mayat lelaki itu telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman di sini untuk dibedah siasat,” katanya.

Sementara itu, jiran mangsa, Nurzakiah Ismail, 41, memberitahu mangsa masih bujang dan menetap bersama lima ahli keluarga termasuk abang dan kakak iparnya.

“Sebelum ini dia amat mesra dengan kanak-kanak dan sering membersihkan longkang. Begitupun kelibatnya tidak kelihatan dalam sehari dua ini sebelum dia ditemui sudah meninggal dunia,” katanya. – K! ONLINE

POPULAR