fbpx
FERRARI dikatakan akan melancarkan wajah baharu jentera yang akan digunakan untuk saingan musim ini awal bulan depan. – AFP

Jentera Ferrari lebih ‘mengaum’ musim ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON – Pelumba sensasi Ferrari, Charles Leclerc percaya pihak pengurusan telah melakukan yang terbaik dalam usaha memastikan pasukan dapat mencapai prestasi cemerlang pada saingan perlumbaan Formula Satu (F1) musim ini.

Ferrari telah merekodkan keputusan terburuk dalam tempoh 40 tahun sepanjang me­nyertai saingan berprestij dunia itu dengan kelemahan utama dikenal pasti ketika bersaing di litar lurus.

Kata Leclerc, pihak pengurusan dan jurutera telah melakukan kerja rumah sepanjang dua bulan lepas bagi menghasilkan jentera lebih baik menjelang saingan musim baharu yang akan bermula 21 Mac ini.

“Saya lihat pengurusan cukup serius dalam memberikan kami jentera yang kompetitif. Saya yakin apa yang mereka bekalkan musim ini lebih bagus daripada tahun lepas,” kata Leclerc yang akan bergandingan dengan Carlos Sainz musim ini.

Sementara itu, Ketua Prinsipal Ferrari, Mattia Binotto mengesahkan, antara pembaharuan dilakukan adalah mengubah suai enjin yang memiliki daya ketahanan tinggi selain kepantasan maksimum untuk bersaing dengan pasukan-pasukan lain musim ini.

“Saya jangka jentera pasukan musim ini tidak akan mengalami masalah seperti tahun lepas. Kebarangkalian untuk enjin rosak dalam perlumbaan selain kurang pecutan ketika mengharungi jalan lurus mungkin tidak lagi terjadi,” katanya.

Sebagai rekod, Ferrari dikatakan hanya akan mendedahkan jentera baharu mereka yang dikenali sebagai SF21 pada 10 Mac depan sebelum mengharungi sesi ujian latihan pramusim di Bahrain. – AGENSI

POPULAR

BERITA BERKAITAN