fbpx

Majikan pencetus Kluster Industri Sungai Gadut disiasat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan asrama pekerja asing sebuah kilang di Sungai Gadut yang menjadi penyumbang kepada kes positif Covid-19, Kluster Industri Sungai Gadut ketika tinjauan Utusan Malaysia hari ini. Setakat dua hari lalu, seramai 1,432 pekerja kilang berkenaan direkodkan positif Covid-19. Foto: MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE.

SEREMBAN – Sebanyak tiga kertas siasatan telah dibuka pihak Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Sembilan terhadap majikan sebuah kilang di Sungai Gadut di sini yang didapati tidak mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) berkaitan penginapan pekerja-pekerja asing mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, J. Arul Kumar berkata, pihak JTK Negeri Sembilan telah melakukan pemeriksaan terhadap premis penginapan pekerja kilang tersebut pada 9 Februari 2021 sebelum kes positif Covid-19 menular kepada 1,432 kes dalam kalangan pekerja kilang berkenaan dua hari lalu.

“Hasil pemeriksaan dilakukan, tiga kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta 446 terhadap majikan berkenaan iaitu kesalahan yang pertama di bawah Seksyen 24D iaitu menyediakan penginapan pekerja tanpa perakuan penginapan daripada Ketua pengarah JTK.

“Kesalahan kedua di bawah Seksyen 24H iaitu bangunan penginapan tidak sesuai untuk kediaman manusia mengikut undang-undang bertulis manakala kesalahan ketiga pula adalah di bawah peraturan kelayakan menyediakan kemudahan minimum yang dikehendaki,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Negeri, Seremban di sini hari ini.

Jelas Arul Kumar, JTK Negeri Sembilan dalam proses melengkapkan kertas siasatan untuk dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk memulakan pendakawaan terhadap majikan tersebut.

Kelmarin, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah memberitahu, Kluster Industri Sungai Gadut menyumbang kepada kenaikan mendadak kes baharu Covid-19 di Negeri Sembilan kelmarin iaitu sebanyak 1,432 kes membabitkan 318 warganagera dan 1,114 bukan warganegara.

Menurut beliau, kluster itu membabitkan sebuah kilang pembuatan produk kayu yang terletak di Kawasan Perindustrian Sungai Gadut di sini dan jumlah pekerja yang tinggal di asrama adalah seramai 1,500 terdiri daripada pekerja asing.

Asrama pekerja berkenaan terletak di dalam kawasan kilang namun menurut Noor Hisham keadaannya sangat tidak memuaskan dan sudah diambil tindakan oleh JTK, Negeri Sembilan.

Sementara itu, Arul Kumar berkata, sejak Akta 446 dikuat kuasa, kertas siasatan telah dibuka terhadap 11 majikan dengan majoritinya dalam sektor perkilangan dan pembinaan.

“Apabila Akta 446 ini dikuat kuasa pada 1 September 2020, memang pemeriksaan dilakukan oleh pegawai-pegawai JTK pada setiap hari untuk memantau isu penginapan pekerja asing. Hasilnya, kertas siasatan telah dibuka terhadap 11 majikan untuk didakwa di mahkamah,” katanya.

Dalam pada itu, jelas beliau, kerajaan negeri juga telah meluluskan iaitu Garis Panduan Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja Yang Disediakan Oleh Majikan di Negeri Sembilan yang perlu diikuti oleh pihak majikan dan juga Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam menyelesaikan isu termasuk berhubung penginapan pekerja asing. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI