fbpx

Ismail Sabri terima suntikan vaksin pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri menerima suntikan vaksin Covid-19 pertama hari ini di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan Wangsa Maju dekat sini.

PETALING JAYA – Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain menerima suntikan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech hari ini.

Ismail Sabri menerima suntikan dos pertama vaksin berkenaan kira-kira pukul 9.30 pagi tadi oleh vaksinator Koperal Siti Maliah Sheikh Alwi di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju dekat sini.

Turut menerima suntikan ialah Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd. Aziz dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Tentera Darat (TDM) dalam satu kenyataan berkata, program itu lanjutan daripada Fasa 1 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Jelasnya, ia bertujuan melindungi ‘frontliners’ yang terdiri daripada warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya, dan TDM khasnya.

“Seramai 26,500 anggota TDM di seluruh negara akan menjadi penerima awal suntikan vaksin Covid-19 pada fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Kumpulan sasar pertama ini merupakan anggota ATM yang sedang dan akan bertugas di kawasan-kawasan operasi seperti Op Penawar, Op Benteng, misi luar negara di UNIFIL dan Pasukan Pemerhati Antarabangsa di Mindanao,” ujarnya. -K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI