fbpx

Saiz jarum biru, jingga berbeza -KKM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ketua Jururawat Pusat Kesihatan Putrajaya, Lina Ibrahim yang diberi kepercayaan menyuntik vaksin kepada Perdana Menteri menggunakan jarum biru untuk menyedut vaksin daripada vial.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan tiada insiden tertukar jarum semasa suntikan vaksin Covid-19 dibuat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku penerima pertama vaksin itu semalam, seperti yang tular di media sosial.

KKM menjelaskan jarum berwarna jingga dan biru yang digunakan dalam proses itu memiliki saiz ‘bore’ atau diameter lubang yang berbeza bagi tujuan berlainan semasa proses vaksinasi dibuat.

KKM berkata, jarum biru digunakan untuk menyedut vaksin atau ubat daripada vial manakala jarum jingga digunakan untuk menyuntik vaksin ke lengan penerima berikutan saiz ‘bore’ jarum itu lebih kecil berbanding saiz jarum biru.

“Jarum biru untuk mengeluarkan vaksin daripada vial memiliki saiz ‘bore’ sedikit besar bagi melancarkan proses menyedut vaksin masuk ke dalam picagari.

“Jarum suntikan yang lebih kecil (jingga atau merah) pula digunakan untuk menyuntik vaksin ke lengan dan kerana saiznya yang lebih kecil, ia mengurangkan kesan lebam dan rasa sakit kepada penerima,” katanya dalam kenyataan hari ini.

KKM berkata demikian sebagai respons terhadap persoalan yang dibangkitkan netizen di laman sosial berhubung warna jarum berbeza yang digunakan untuk menyuntik vaksin kepada Perdana Menteri semalam.

Sementara itu, KKM menegaskan bahawa, jarum suntikan berbeza perlu digunakan semasa proses vaksinasi dibuat untuk mengelakkan kontaminasi silang antara pesakit.

“Paling penting, vaksin daripada vial yang disedut masuk ke dalam picagari untuk diberikan kepada penerima tidak berubah,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri mencipta sejarah selepas menjadi individu pertama menerima vaksin Covid-19 di Pusat Kesihatan Putrajaya, Presint 11.

Turut menerima vaksin semalam ialah Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah bersama empat petugas barisan hadapan KKM. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI