fbpx

Ikat pekerja sebelum larikan beg, jam tangan bernilai RM10,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Dua lelaki yang melakukan samun bersenjata bertindak mengikat seorang pekerja kedai sebelum melarikan 10 buah beg berjenama mewah terpakai dan empat utas jam tangan bernilai RM10,000 dalam kejadian di Johor Jaya dekat sini pada Sabtu lalu.

Dalam kejadian pukul 3.30 petang, ketika pengadu berada di dalam kedai, dia didatangi dua lelaki dan seorang daripada mereka telah mengeluarkan sebilah pisau.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd. Sohimi Ishak berkata, kedua-dua suspek tersebut bertindak menolak mangsa sebelum mengikat tangannya.

“Suspek kemudiannya mengambil barang seperti 10 buah beg dan empat utas jam tangan berjenama mewah terpakai sebelum meninggalkan kedai tersebut.

“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian samun bersenjata itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Sohimi berkata, polis kemudian mengesan suspek dan berjaya menahan tiga lelaki tempatan di sekitar Skudai, Jalan Tun Abdul Razak dan Taman Johor Jaya, Isnin lalu.

Katanya, kesemua suspek didapati mempunyai pelbagai rekod lampau dan hasil urin adalah positif dadah.

“Hasil soal siasat ke atas ketiga-tiga suspek, polis telah membuat tangkapan susulan melibatkan seorang lelaki tempatan di SPK Damansara, Kuala Lumpur pukul 3.29 pagi.

“Melalui tangkapan ini, polis menemui semula barang kes berkaitan antaranya beg tangan, beg silang dan beg pakaian. Kesemuanya adalah beg berjenama yang sudah terpakai,” jelasnya.

Katanya, suspek yang ditahan di Kuala Lumpur itu tidak mempunyai rekod lampau dan hasil urin adalah negatif.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI