fbpx

Cetak rompak digital kaut RM3 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ISU cetak rompak tidak pernah menampakkan jalan penyelesaian.

ISU cetak rompak dalam industri media dan kreatif nampaknya masih tidak menemui titik noktah. Sejak zaman kaset, cakera padat (CD), cakera padat digital (DVD) sehinggalah ke teknologi penstriman hari ini, masalah yang sama masih membelenggu pengkarya dan pemain industri.

Lebih parah, kerugian tahunan akibat kegiatan cetak rompak digital tersebut dianggarkan bernilai RM3 bilion kepada industri media dan kreatif.

Selain, menyebabkan kehilangan RM500 juta cukai pendapatan dan mengakibatkan beribu-ribu individu kehilangan pekerjaan.

Impak daripada kegiatan cetak rompak digital jelas menjejaskan ekosistem industri media dan kreatif tempatan. Sungguhpun begitu, tindakan terbaharu pihak berkuasa dalam memerangi isu cetak rompak digital memberi harapan kepada penggiat industri.

Pada 8 Februari lalu, sebuah syarikat teknologi maklumat di Shah Alam, Selangor menjadi syarikat pertama yang didakwa di mahkamah kerana melanggar Seksyen 41 (1) (ha) Akta Hakcipta 1987 dengan menjual alat bagi memintas langkah perlindungan teknologi.

Selain itu, pada 16 Februari lalu, seorang wanita berusia 46 tahun didenda RM30,000 di bawah Seksyen 232(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki enam unit kotak TV media yang mempunyai aplikasi siaran Astro menerusi internet secara tidak sah.

Wanita itu merupakan pesalah pertama disabit kesalahan menjual peralatan perisian penstriman haram (ISD).

Pengarah Kawal Selia Astro, Laila Saat mengalu-alukan tindakan tegas yang dikenakan terhadap penjual ISD. Pihaknya juga berjanji untuk terus bekerjasama dengan pihak berwajib dan rakan-rakan penyedia kandungan dalam menyampaikan mesej tegas bahawa cetak rompak adalah perbuatan jenayah serta boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Cetak rompak pada hari ini dilihat seakan-akan menjadi kebiasaan sehingga ramai yang terleka dan terlupa bahawa perbuatan tersebut adalah mencuri.

Cetak rompak adalah musuh utama industri kerana mereka merompak hasil kerja setiap pekerja yang terlibat dalam ekosistem kreatif tersebut secara langsung menghalang sebarang pembangunan dan pelaburan,” kata Laila.

Penerbit dan pengarah filem terkenal, Datuk Yusof Haslam pula menegaskan, tanpa usaha dan keazaman daripada pihak berkuasa kegiatan cetak rompak digital akan terus berlaku.

“Perbuatan mencuri ini bukan perkara baru dan perlu diatasi sebaik mungkin. Saya kesal melihat retorik yang kosong tanpa membawa sebarang penyelesaian kepada isu sebenar. Tanpa undang-undang yang tegas, cetak rompak akan berterusan dan merebak seperti barah kepada industri kreatif negara dan penggiatnya,” jelas Yusof.

WARGA industri kreatif diwakili (dari kiri), Yusof Haslam, Laila Saat, Zed Zaidi dan Lam Swee Kim.

Hukuman berat

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Penerbit Filem (PFM), Zahrin Aris berkata, hukuman atau penalti yang dikenakan ke atas penjual dan pemilik kotak media haram dilihat agak ringgan. Justeru, pihak berkuasa diseru agar mengenakan hukuman yang lebih berat.

“Nilai kerugian yang perlu ditanggung disebabkan cetak rompak digital sudah tentu lebih tinggi daripada nilai hukuman denda sebanyak RM30,000,” ujar Zahrin.

Pendapat tersebut turut dipersetujui oleh Ketua Pemasaran Star Media Group, Lam Swee Kim yang berharap hukuman setimpal diberikan kepada pelaku bagi mencerminkan impak buruk kepada penggiat seni.

Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi berharap, sabitan hukuman berkenaan kesalahan cetak rompak digital yang

dikenakan baru-baru ini bakal memberi sinar baharu kepada industri seni tempatan.

“Saya berharap kes tersebut dijadikan penanda aras, seterusnya memberi keadilan kepada pemain industri media dan kreatif tempatan yang secara jelas merupakan mangsa kepada perbuatan jenayah ini,” jelas Zed.

Justeru itu, penggiat industri merayu kepada pihak kerajaan untuk melakukan kajian semula ke atas undang-undang yang sedia ada.

Hal ini kerana, mereka berasakan undang-undang yang diguna pakai pada hari ini tidak memberi perlindungan menyeluruh kepada pemilik hak cipta serta kerja-kerja kreatif yang diusahakan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI