fbpx

Cabaran yakinkan rakyat cucuk vaksin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
NOR IDAYU BOSRO
WAKIL KOSMO! PUTRAJAYA

HARI ini tanggal 24 Februari 2021, sejarah bakal tercipta lagi yang menyaksikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menjadi antara individu pertama menerima suntikan vaksin Covid-19.

Ia antara lain bagi meyakinkan rakyat negara ini bahawa vaksin itu selamat dan berkesan.

Membina keyakinan rakyat terhadap pengambilan vaksin Covid-19 menjadi antara cabaran kerajaan ketika ini memandangkan terdapat berita-berita mengenai golongan antivaksin, teori konspirasi dan maklumat palsu yang berleluasa di media sosial serta dalam kumpulan sembang.

Hasil Tinjauan Vaksin Covid-19: Terima atau Tolak? yang dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM) secara online dari 21 hingga 28 Disember tahun lalu mendapati, 67 peratus responden bersetuju menerima vaksin, 17 peratus tidak pasti, manakala 16 peratus lagi tidak bersetuju. Tinjauan itu membabitkan 212,006 rakyat Malaysia.

Rata-rata rakyat yang tidak bersetuju menyatakan kerisauan terhadap kesan sampingan (96.1 peratus), meragui bahan dalam vaksin (84.6 peratus) dan merasakan vaksin tidak selamat digunakan (82.8 peratus).

Berhubung kesan sampingan, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah sebelum ini pernah memaklumkan bahawa gejala ringan kesan daripada pengambilan vaksin Covid-19 disifatkan sebagai tindak balas tubuh dalam penghasilan antibodi terhadap virus tersebut.

Katanya, gejala itu termasuklah demam, penat, sakit kepala, sakit sendi dan bengkak atau kemerahan di tempat suntikan yang akan dipantau satu jawatankuasa pakar khas bagi menilai kes-kes Kesan Sampingan Susulan Imunisasi (AEFI) dan isu keselamatan berkaitan vaksin.

Sementara itu, bahan dalam vaksin tidak perlu diragui lebih-lebih lagi Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) ke-10 memutuskan vaksin yang telah dan bakal diterima negara tidak diperbuat daripada bahan haiwan serta tiada unsur haiwan.

Presiden Persatuan Farmasi (MPS), Amrahi Buang berkata, vaksin Pfizer, Comirnaty misalnya, dibangunkan menggunakan teknologi baharu iaitu jenis asid ribonukleik pengutus (mRNA) yang tidak menggunakan sebarang sumber haiwan.

Beliau berkata, vaksin Covid-19 keluaran syarikat farmaseutikal China, Sinovac pula telah ditetapkan halal oleh Majlis Ulama Indonesia dan telah digunakan di republik itu.

Katanya, Sijil Imunisasi Covid-19 Digital akan diberikan kepada orang ramai selepas mereka selesai menerima suntikan bergantung kepada jenis vaksin sama ada satu atau dua dos.

“Sijil ini adalah bukti bahawa seseorang itu telah mengambil vaksin dan ini akan memudahkan mereka bergerak sama ada dalam negeri atau keluar negara.

“Melalui pengambilan suntikan vaksin, kita turut melindungi orang sekeliling yang mungkin tidak boleh menerimanya kerana berada dalam kelompok berisiko,” katanya kepada Kosmo!.

Amrahi berkata, kempen kesedaran awam perlu dibuat secara berterusan bagi membantu rakyat memahami sains di sebalik vaksin.

“MPS juga sudah memulakan aktiviti dalam advokasi ini bagi menambah keyakinan orang ramai terhadap program vaksinasi.

“Keterlibatan pemimpin-pemimpin di peringkat komuniti juga sangat diharapkan untuk membawa mesej ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI