fbpx

‘Berdebar walaupun terbang sejam’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kapten Hamdan (tengah) menjalankan misi membawa vaksin Covid-19 dari Singapura.

PETALING JAYA – Juruterbang Malaysia Airlines (MAS) yang diamanahkan membawa vaksin Covid-19 ke Malaysia menyifatkan perjalanan itu sebagai mendebarkan walaupun dia mempunyai pengalaman selama 29 tahun menerbangkan pesawat.

Kapten Hamdan Che Ismail, 49, berkata, walaupun penerbangan hanya mengambil masa selama sejam dari Lapangan Terbang Changi, Singapura ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), namun ia sesuatu yang sangat istimewa.

“Saya bukan sahaja bertanggungjawab menerbangkan 312,390 dos vaksin menaiki pesawat Airbus 330-300 MH604 dengan selamat tetapi membawa harapan jutaan rakyat Malaysia.

“Ia seperti kelaziman biasa di udara namun hakikatnya saya membawa aset negara yang sangat berharga dan sensitif kepada faktor masa dan suhu,” kata anak kelahiran Tumpat, Kelantan itu ketika dihubungi.

Vaksin Covid-19 itu selamat tiba di KLIA pukul 10.07 pagi semalam.

Menurut Hamdan, dia terus meluahkan rasa syukur kerana penerbangan itu berjalan dengan lancar dengan bantuan pelbagai pihak termasuk pengawal lalu lintas udara.

Tambahnya, sebelum ini pihak kerajaan ada memaklumkan mengenai penerbangan untuk membawa vaksin dari China, namun berlaku perubahan dan perjalanan diawalkan.

“Saya perlu mengelakkan berlaku masalah termasuklah gegaran kuat, ‘air pocket’ dan sebagainya.

Hamdan turut berterima kasih kepada pembantu juruterbang, Kapten Mohd. Shamsurin Mohd. Mustafa, 51, dan empat anak kapal yang lain yang turut terlibat dengan penerbangan itu.

Sebagai rekod, Hamdan sebelum ini bertanggungjawab membawa pulang tujuh pelajar Malaysia dari Kaherah, Mesir selepas situasi di negara itu dilihat mengancam keselamatan dalam Ops Piramid II pada tahun 2013.

Vaksin Pfizer-BioNTech diterbangkan dari Puurs, Belgium dan transit di Lapangan Terbang Leipzig Halle, Jerman serta Singapura sebelum tiba di KLIA.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI