fbpx

Bayi lelaki tertukar ibu, petugas hospital berdepan tindakan tata tertib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA – Kerajaan negeri mengesahkan berlaku insiden tertukar bayi lelaki di sebuah hospital di sini pada Rabu lalu dan pelaksanaan tatatertib terhadap petugas terbabit sedang diambil kira atas kesalahan kecuaian yang serius.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah, Datuk Rahmad Mariman berkata, bagaimanapun perkara itu telah diselesaikan secara baik antara kedua-dua pihak membabitkan dua buah keluarga dengan pihak hospital.

“Insiden tertukar bayi lelaki itu memang berlaku di wad nurseri hospital berkenaan, namun kes ini telah diselesaikan dan siasatan peringkat dalaman telah dilakukan.

“Saya turut menyarankan agar tindakan tatatertib dikenakan terhadap petugas terlibat kerana ini merupakan kecuaian yang sangat serius,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Ayer Molek di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, insiden itu juga merupakan yang pertama kali berlaku di negeri ini dan pihaknya mewakili Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) amat kesal dengan kejadian tersebut.

“Saya mewakili JKN memohon maaf di atas kejadian yang tidak sepatutnya berlaku ini. Tindakan tegas akan diambil terhadap petugas tersebut,” katanya.

Terdahulu tular di laman sosial Facebook mengenai insiden tertukar bayi lelaki yang dikongsi oleh pemilik akaun Nur Hafiza mendakwa bayinya telah tertukar dengan bayi pasangan lain.

Kejadian tersebut didakwa telah berlaku di sebuah hospital di sini, selepas bayinya yang dilahirkan pada 12 Februari lalu seberat 3.1 kilogram mengalami jaundis dan terpaksa di rawat di wad nurseri.

Katanya, pihak hospital bagaimanapun memaklumkan keadaannya bayinya masih belum dibolehkan untuk dibawa pulang ekoran berat badannya susut.

Susulan bimbang dengan keadaan itu, Nur Hafiza bersama-sama suaminya telah ke pusat perubatan itu pada 17 Februari sebelum mendapati anak tersebut bukanlah bayi mereka.

Pada hari sama, pihak hospital telah mengesan bayi sebenar pasangan itu yang telah tertukar dan dibawa pulang oleh pasangan lain sebelum membawa kembali serta menyerahkan anak tersebut kepada mereka.-K!ONLINE

POPULAR