fbpx

Saluran DidikTV KPM relevan walaupun sekolah dibuka semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mas Ermieyati Samsudin (kiri) menyampaikan tablet kepada pelajar sekolah, Muhammad Farid Yahya, 11, untuk kegunaan hariannya pada program penyampaian tablet samsung dan simkad dari Ahli Parlimen Masjid Tanah secara pandu lalu di perkarangan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Masjid Tanah. Gambar : Rasul Azli Samad

ALOR GAJAH – Saluran DidikTV Kementerian Pendidikan kekal relevan sebagai sokongan pendidikan meskipun kerajaan mengumumkan pembukaan semula sesi persekolahan secara berperingkat bermula pada 1 Mac depan.

Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, keputusan pembukaan sekolah itu sudah semestinya dibuat selepas mengambil kira setiap aspek termasuk platform DidikTV KPM yang dilancarkan pada 17 Februari lalu sebagai saluran pendidikan.

Katanya, saluran DidikTV KPM itu boleh dijadikan rujukan atau sokongan pembelajaran, bukan sahaja untuk para pelajar tetapi kepada ibu bapa dalam membantu serta memahami proses pendidikan anak-anak ketika di rumah.

“Walaupun sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) selepas ini berlaku di sekolah, saluran DidikTV KPM diyakini akan menjadi nilai tambah kepada para pelajar serta alternatif kepada ibu bapa dalam menyokong pendidikan anak-anak di rumah.

“Pada saya DidikTV KPM ini bukan pembaziran, malah pelancaran saluran itu dibuat dengan penilaian teliti oleh pihak kerajaan, termasuk pengumuman pembukaan semula sekolah oleh Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin, kelmarin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Penyerahan Tablet di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Masjid Tanah di sini, hari ini.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan menetapkan pembukaan sekolah bermula 1 Mac ini untuk pelajar sekolah rendah iaitu pra sekolah, tahun 1 dan Tahun 2. Bagi pelajar Tahun 3 hingga Tahun 6 pula akan bermula 8 Mac ini.

Sementara itu, tarikh pelajar sekolah menengah kembali ke sekolah adalah pada 4 April 2021 bagi kumpulan A iaitu Johor, Kelantan, Terengganu dan Kedah, manakala bagi Kumpulan B bermula 5 april 2021.

Dalam majlis berkenaan, Mas Ermieyati yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi telah mengedarkan 100 buah tablet berserta kad sim percuma secara pandu lalu bagi bagi tujuan pembelajaran norma baharu.

Katanya, pihaknya akan menyumbangkan kira-kira 200 tablet lagi dalam masa terdekat selepas pusat khidmatnya menerima permohonan yang terlalu tinggi daripada masyarakat setempat.

“Masih ramai lagi yang datang merayu dan sebagainya, sebab itulah saya pun telah bermesyuarat insyaAllah akan tambah lagi 200 tablet. Dalam minggu ini juga kita akan bagi.

“Saya harap walaupun sekolah nak dibuka bulan hadapan, kita berikan juga sebab saya yakin dan percaya selepas ini norma baharu. Kegunaanya itu bukan hanya ketika sekolah ditutup tapi pada bila-bila masa sahaja,” ujarnya. -K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI