fbpx

Fokus Sejarah, Matematik – Bella Dowanna sedia duduki SPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bella Dowanna

PETALING JAYA – Pelakon Bella Dowanna yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula esok.

Dia juga telah bersedia sepenuhnya untuk menjawab peperiksaan tersebut selepas tertangguh pada tahun lalu ekoran pandemik Covid-19.

Bella atau nama sebenarnya Qystinna Istajibilla Dowanna Halim, 18, ketika dihubungi Kosmo! memberitahu, dia akan menduduki peperiksaan Bahasa Melayu Pemahaman dan Penulisan pada pukul 8 pagi esok dan diakhiri dengan kertas Tasawwuf pada 25 Mac nanti.

“Alhamdulillah, saya sudah buat semua persediaan, termasuk kelengkapan alat-alat tulis dan borang pengesahan bebas Covid-19.

“Sejak dapat tahu tarikh sebenar SPM sekitar awal Januari lalu, saya fokus membuat persediaan dan melakukan latihan ulang kaji, terutama melibatkan subjek yang perlu diberi perhatian,” ujar Bella.

Bakal menduduki 10 kertas peperiksaan, Bella memberi penekanan terhadap subjek Sejarah dan Matematik kerana menyedari kelemahan penguasaan terhadap kedua-dua subjek berkenaan.

“Untuk subjek-subjek lain, insya-Allah saya boleh buat dan berharap dapat keputusan terbaik,” ujar pelakon Budak Tebing itu.

Bella yang bakal menduduki peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Hartamas, Kuala Lumpur turut menitipkan doa buat semua calon dan rakan-rakannya yang bakal menempuh SPM esok supaya melakukan yang terbaik dan berusaha bersungguh-sungguh.

“Untuk semua calon SPM esok, marilah kita sama-sama berusaha buat sehabis baik dan berjuang bersungguh-sungguh,” katanya yang bercadang untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perniagaan atau seni lakonan pada masa akan datang. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI