AINA, 16, merenung kosong buku teks Matematik Tambahan yang terletak di atas mejanya.
Fikirannya terganggu dek kemelut yang berlaku dalam keluarganya.
Ternyata kekecewaan yang dirasai anak tunggal ini sudah tidak dapat ditanggungnya lagi selepas menyaksikan sendiri ‘kecurangan’ bapa bersama wanita lain di belakang ibunya.
“Ibu saya seorang wanita yang sangat cantik, lemah lembut dan mempunyai kerjaya yang bagus.
“Bagaimanapun sejak saya kecil lagi, perkahwinan mereka boleh diumpamakan bagai retak menanti belah. Ayah melayan ibu seperti tiada hati dan perasaan.
“Boleh dikatakan hampir setiap hari, ada sahaja teriakan keluar daripada mulut ayah kepada ibu,” luahnya kepada K2.
Setiap kali melihat ibu hanya mendiamkan diri tatkala dikasari, Aina tertanya-tanya. Pernah juga soalan tersebut diajukan sendiri kepada ibunya, namun jawapan yang diberikan hampa.
“Saya sedar sebagai seorang anak, saya tidak layak bertanya apatah lagi masuk campur dalam urusan mereka. Tetapi siapa yang tidak sedih apabila sejak kecil menyaksikan jiwa ibu terseksa. Mungkin mereka tidak sedar keadaan itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada saya,” ujarnya.
Membesar seorang diri tanpa ditemani gelak tawa adik-beradik lain, Aina hanya mampu menumpang kasih dengan saudara-maranya yang lain.
Bagaimanapun kebahagiaan yang dirasainya itu hanya sebulan sekali ketika pulang ke kampung bagi menjenguk datuk dan neneknya.
Kesan daripada masalah tersebut, Aina mendakwa tertekan dan sukar untuk fokus di dalam kelas kerana teringat peristiwa yang berlaku di rumah.
“Di hadapan keluarga, ibu dan ayah dilihat seperti pasangan merpati dua sejoli. Semuanya serba serbi sempurna sehingga ada yang mencemburui hubungan mereka.
“Mereka malah menjadikan ibu dan ayah sebagai idola. Perniagaan ayah yang maju dan ibu pula wanita berkerjaya serta kelihatan seperti seorang model merupakan pakej lengkap dalam sesebuah perkahwinan.
“Setiap tahun pula, kami akan bercuti ke luar negara dan semua itu kelihatan indah belaka di mata orang lain.
“Realitinya, ia hanyalah lakonan semata-mata. Di belakang mereka, semuanya hambar dan kosong. Usah kata bergurau senda, bercakap pun hanya sepatah dua,” rungutnya lagi.
Tertekan dengan masalah itu, Aina mendapatkan rawatan daripada pakar kaunseling tanpa pengetahuan ibu bapanya.
“Saya mula membenci ayah dan risau kerana situasi ini membuatkan pelajaran saya terganggu memandangkan tidak lama lagi bakal menduduki peperiksaan besar.
“Saya sangat bersyukur kerana dipertemukan dengan seorang kaunselor yang sangat positif dan membuatkan saya mampu menerima kelemahan keluarga kecil kami,” jelasnya.
Belum sempat reda dengan masalah dihadapinya itu, Aina diuji pula dengan ‘kecurangan’ bapanya apabila dia menyaksikan sendiri bapanya bersama wanita lain ketika membeli bahan ulangkaji di sebuah kedai buku.

Enggan bersangka buruk, dia menyangka wanita dan anak kecil itu hanyalah saudara jauh. Tetapi sebaik mendengar kanak-kanak tersebut memanggil bapanya ayah, Aina terkesima.
Malam itu sebaik ibunya pulang, Aina dengan pantas menceritakan insiden yang berlaku dengan harapan ibunya terkejut dan membenci bapanya kerana berlaku ‘curang’.
Sebaliknya, wanita itu kelihatan tenang dan bersahaja.
“Ibu memeluk saya erat. Katanya wanita itu merupakan isteri ayah yang sah dan kanak-kanak itu pula merupakan adik kandung saya.
“Perkahwinan ayah dan wanita itu direstui ibu kira-kira lapan tahun lalu. Ibu juga berjanji tidak akan memberitahu keluarga ayah atau sesiapa sahaja mengenai perkahwinan itu kerana enggan diceraikan,” ujarnya.
Kata ibu Aina, segala pahit kehidupan berumah tangga ditelannya bulat-bulat kerana enggan melihat anaknya membesar tanpa kasih sayang daripada seorang ayah.
“Menurut ibu, ayah dan wanita itu sudah lama bercinta. Tetapi percintaan mereka terhalang kerana nenek sudah mempunyai calon (ibu) untuk menjadi isteri ayah.
“Tidak mahu memalukan kedua-dua orang tua, ayah bersetuju untuk memperisterikan ibu. Sangka ibu, ayah dapat menerimanya sepenuh hati. Namun ternyata ayah masih lagi tidak dapat melupakan kekasihnya itu.
“Setiap hari ibu dilayan seperti orang asing biarpun ketika sedang hamilkan saya. Ibu akhirnya bersetuju untuk bermadu dengan harapan ayah berubah dan menerima dirinya,” terangnya.
Bagaimanapun, pengorbanan yang dilakukan ibu sia-sia belaka kerana bapanya masih lagi berlaku acuh tidak acuh.
“Jika beginilah caranya, saya tidak kisah pun jika membesar tanpa seorang ayah asalkan hati ibu tidak disakiti, “ tuturnya.














