fbpx

Mencari ketenangan di puncak destinasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AKTIVITI lasak seperti mendaki sudah menjadi biasa bagi gadis manis ini.

SETIAP insan di dunia mempunyai pelbagai cara untuk melepaskan tekanan hidup akibat tuntutan kerjaya dan peribadi.

Ada yang ‘melarikan’ diri ke hutan dan ada yang sanggup terbang beribu kilometer ke negeri asing semata-mata ingin berada jauh daripada permasalahan.

Bagi seorang Eksekutif Kanan Media Sosial Lembaga Zakat Selangor, Noor’Ain Mohd. Annoer, 37, beliau memilih untuk ‘berbicara’ dengan alam semula jadi seperti hutan, bukit, gunung dan lautan sebagai ‘pelarian’ daripada hiruk-pikuk bandar dan masalah kerja yang tidak pernah selesai.

“Semua orang ada masalah, apa yang penting bagaimana kita menyelesaikannya. Melepaskan kemarahan kepada orang lain bukan cara saya.

“Sebagai pencinta sukan lasak dan aktiviti kembara, hutan rimba, bukit-bukau dan gunung-ganang seakan memanggil saya setiap kali fikiran sudah terlalu letih dengan pelbagai masalah,” katanya.

Noor’Ain berkata, antara gunung yang paling ‘mesra’ dengan dirinya adalah Gunung Kinabalu yang sudah empat kali didaki sepanjang 20 tahun berkecimpung dalam aktiviti lasak.

Wanita bersemangat waja berkulit putih ini berkata, setiap kali tiba di puncak Kinabalu, beliau berasa tenang seolah-olah berada di puncak dunia.

“Walaupun Gunung Kinabalu sudah empat kali didaki, rasa ingin kembali ke puncak tertinggi di Asia Tenggara tersebut tidak pernah padam,” katanya.

Menyentuh pengalaman mendaki di negara sendiri, Noor’Ain memberitahu, selain Kinabalu beliau pernah mendaki Gunung Trusmadi yang terletak di Tambunan, Sabah; Gunung Angsi dan

Gunung Datuk (Negeri Sembilan) serta Gunung Nuang (Selangor).

Selain itu, Gunung Stong di Dabong, Kelantan, Gunung Tebu (Besut, Terengganu), Gunung Papulut (Gerik, Perak), Bukit Tabur dan Bukit Kutu (Selangor) turut dijelajahinya.

Mengulas mengenai pendakian di negara luar, beliau yang berasal dari Serendah, Selangor berkata, antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan adalah semasa mendaki Annapurna Base Camp (ABC) di Nepal.

MENYELAM skuba menjadi aktiviti lasak yang disertai Noor’Ain.

“Kata orang sebelum ke puncak Everest dakilah dahulu ABC. Saya mengalami hiportemia sebanyak tiga kali sepanjang pendakian tersebut hingga meracau-racau jadinya.

“Pengalaman tersebut tidak membuat saya serik hendak ke ABC semula. Malah, jika ada rezeki, saya ingin mendaki hingga ke Mardi Himal, Everest Base Camp (EBC) dan puncak Everest itu sendiri,” ujarnya.

Jelasnya, pengalaman paling menggembirakan adalah apabila dapat menyumbang pakaian untuk Orang Asli di Kampung Ulu Gepeh, Kuala Mu, Perak semasa program perkhemahan.

Sebagai kakitangan LZS, Noor’Ain berkata, keperibadian murni yang terbentuk sebagai kakitangan institusi keagamaan tersebut terpancar dalam aktiviti kembara yang beliau sertai.

“Sebagai seorang Islam, semasa mendaki banyakkan berzikir dan jaga kelakuan kita, jangan bersikap terlampau ghairah untuk ke puncak. Ahli kumpulan harus memastikan kawan-kawan ada di depan dan di belakang setiap masa.
“Saya pernah tersesat semasa menuruni Bukit Tabur. Saya juga pernah terserempak dengan lembaga seperti pocong di kaki Gunung Nuang. Ini menjadikan saya lebih berhati-hati dan menjaga pantang-larang di tempat ‘orang’,” katanya.

Jelas graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Sivil Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan lepasan Politeknik Ungku Omar itu, walaupun berstatus anak bongsu, ia bukanlah lesen untuk menjadi anak manja.

Katanya, demi minat dan kerjaya banyak pengorbanan perlu dilakukan. Namun, ujarnya, ia tidak menjadi halangan untuk terus maju dalam bidang lain seperti menghasilkan produk kecantikan.

“Saya sebagai pengasas telah melancarkan produk penjagaan kulit untuk wanita dan lelaki jenama QBis By Anne Annoer pada 29 Januari lalu. Ia khusus bagi penggemar aktiviti luar dan pengembaraan,” katanya.

Mengulas mengenai impak ketara terhadap dirinya sepanjang menyertai aktiviti lasak, beliau mengalami masalah slip disk dan kecederaan pada tulang rawan kedua-dua lutut yang semakin pulih selepas rawatan.

“Cinta terbaharu saya adalah aktiviti menyelam skuba setelah berjaya memperolehi lesen untuk tujuan itu. Walaupun mengalami sedikit masalah semasa aktiviti tersebut, saya akan teruskan juga,” katanya.

Walaupun diduga dengan pelbagai masalah hidup, wanita berhati waja dan kental ini bukan sahaja akan terus mendaki gunung, menyelam di laut, malahan bercita-cita untuk menyertai aktiviti payung terjun dan paragliding suatu hari nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI