BALING – Biarpun laluan bagi mendapatkan pokok paku aji di Gulung Pulai di sini yang terpaksa dilalui pencari tumbuhan liar itu berbahaya kerana curam dan licin, namun ia tidak menghalang mereka untuk mendapatkan pokok tersebut sebagai pendapatan sampingan.
Ini kerana, tumbuhan liar yang dijadikan pokok hiasan itu menguntungkan apabila dijual kerana harganya mencecah antara RM10 hingga RM7,000 mengikut saiz pokok serta keunikan bentuknya.
Selain Gunung Pulai, antara tumpuan pemburu pokok paku aji ialah di Gunung Bendera dan Gunung Padang Che Mas di sini.
Seorang penoreh getah, Ismail Md. Ali, 31, dari Kampung Padang Che Mas berkata, dia dan beberapa rakan akan keluar mencari pokok paku aji selepas kerja hakiki menoreh dan melakukan kerja-kerja kampung.
“Pokok paku aji ini mempunyai peminat serta pengumpulnya tersendiri di seluruh negara.
“Oleh itu, sebilangan penduduk yang tinggal berhampiran gunung ini tidak akan melepaskan peluang untuk menambah pendapatan meskipun sedar dengan risiko yang menanti iaitu terjatuh dari gunung,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, pencari pokok paku aji perlu berhati-hati semasa memanjat dan ketika mahu menebang pokok berkenaan kerana keadaan gunung batu kapur itu yang curam, licin dan rapuh.
“Adik saya, Amir Hakimi meninggal dunia pada 19 November tahun lalu ketika mencari pokok paku aji ini bersama sepupu dan rakan-rakannya,” ujarnya.
Menurutnya, dia pernah menjual sepokok pokok paku aji dengan harga RM2,700 dan pendapatan itu dibahagikan dengan rakan-rakan lain.
Seorang lagi pencari pokok hiasan tersebut, Azizan Wan Nik, 48, memberitahu, pendapatannya terjejas teruk sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu.
“Kami hampir kehilangan pelanggan kerana batasan pergerakan yang menghalang pembeli dari luar datang ke sini untuk melihat dan membeli pokok paku aji,” ujarnya.
Katanya, dia pernah menjual empat batang pokok paku aji pada harga RM4,000 dan ia dibeli peminat dari Terengganu.

Bagi Mohamad Hafiz Desa, 26, dia kini bergantung kepada jualan pokok tersebut di Facebook sejak penularan Covid-19.
Katanya, kini pendapatan yang diperolehinya sekitar RM300 hingga RM400 sahaja sebulan berbanding RM1,000 hingga RM2,000 sebulan, bergantung kepada permintaan.















