fbpx

MDV biayai 38 projek bernilai RM381 juta di bawah sektor tenaga hijau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA NERANG – Malaysia Debt Ventures Bhd. (MDV) sedang membiayai 38 projek bernilai RM381 juta di bawah sektor tenaga hijau di negara ini.

Pengerusinya, Khairul Azwan Harun berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM255 juta adalah untuk pembiayaan bagi projek tenaga boleh diperbaharui, RM82.5 juta pula bagi projek kecekapan tenaga manakala baki RM43.1 juta adalah untuk pelbagai projek hijau yang berkaitan.

“Kapasiti elektrik yang dihasilkan daripada stesen janakuasa berasaskan biogas, biomas, mini hidro dan solar daripada keseluruhan projek berkenaan adalah sebanyak 152 megawatt,” kata­nya.

Beliau berkata demikian pada sesi taklimat media di sebuah loji janakuasa elektrik tenaga boleh diperbaharui (biomas) di Padang Terap semalam.

Selain itu, Khairul Azwan menjelaskan, sejak tahun 2010, MDV telah meluluskan sebanyak RM912.4 juta pinjaman di bawah Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) untuk 64 syarikat ­berasaskan teknologi hijau.

Jumlah pembiayaan itu menjadikan MDV sebagai pembiaya tertinggi di bawah skim tersebut dan meletakkan syarikat sebaris dengan bank-bank komersial terbesar di Malaysia yang menawarkan pembiayaan berhubung segmen teknologi hijau.

Beliau menambah, MDV sentiasa konsisten dalam usaha untuk menyokong sektor teknologi hijau di Malaysia dan akan terus komited untuk mencari dana bagi menyokong program-program pembiayaannya.

“Sehubungan itu, MDV juga dalam perancangan untuk me­lancarkan sukuk bernilai RM2 bilion pada tahun ini bagi menyokong keperluan pembiayaan MDV untuk tempoh lima hingga tujuh tahun akan datang,” jelas Azwan.

Jelasnya, selain menjadi salah satu pembiaya di bawah skim GTFS, MDV juga memperkenalkan program pembiayaan Energy Performance Contracting Fund (EPC).

Program tersebut khusus untuk syarikat perkhidmatan tenaga (ESCO) yang terlibat dalam perlaksanaan program cekap tenaga dalam sektor bangunan.

“Program EPC diperkenalkan oleh MDV dengan kerjasama Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.

“Ia bertujuan untuk menawarkan pembiayaan prinsipal kepada peminjam, manakala kementerian itu akan memberi subsidi kepada kos pembiayaan bukan prinsipal seperti kos jaminan untuk memastikan peminjam mendapat kemudahan pembiayaan pada kos yang lebih kompetitif dan munasabah,” katanya.

Tambah Azwan, ketika ini, MDV merupakan satu-satunya agensi pembiayaan yang menawarkan program seperti EPC ini di Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI