MUHAMMAD NASIR (kiri) dan Ghazali menunjukkan dua ekor burung murai batu yang dibiakkan mereka di Meru, Selangor.

K2

Daripada memikat kepada membiak baka murai batu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETIBANYA penulis di sebuah rumah yang dikelilingi ladang kelapa sawit di Meru, Selangor, jelas kedengaran suara kicauan burung yang menyerikan suasana pada petang itu.

Kemerduan suara kicauan burung itu menjadi halwa telinga kepada sesiapa yang mendengarnya.
Dari suatu sudut di halaman rumah pula kelihatan susuk tubuh seorang pemuda sedang mengeluarkan seekor anak burung dari sangkar.

“Anak-anak burung ini telah dipisahkan daripada ibunya. Jadi saya perlu menyuapkannya makanan.

“Saya akan menyuapkan dedak yang telah dibasahkan. Apabila anak-anak burung ini mencapai umur sebulan dan sudah pandai untuk makan sendiri saya akan memberi makanan hidup seperti cengkerik atau belalang,” ujar Muhammad Nasir Abdul Kadir, 32, kepada K2.

Nasir yang berasal dari Alor Setar, Kedah merupakan seorang pemikat dan pembiak burung spesies murai batu.

 

 

BURUNG murai batu begitu cantik dan spesies ini dapat dikenali dengan ciri ekornya yang panjang.

“Dahulu saya merupakan seorang pemikat murai batu, tetapi sejak memulakan aktiviti pembiakan burung ini saya telah kurangkan aktiviti memikat. Sekiranya saya memikat, ia cuma sekadar hobi dan burung yang dipikat akan dilepaskan kembali kerana kini saya lebih fokus kepada pembiakan.

“Adakalanya hasil pembiakan juga saya akan lepaskan ke sesetengah kawasan hutan berdekatan bagi membolehkan spesies ini terus membiak di habitat asalnya iaitu di dalam hutan,” katanya.

Tambahnya, menjadi satu kepuasan baginya apabila dapat melihat dan mendengar burung itu berkicauan di dalam hutan dan boleh dikatakan satu terapi baginya dan peminat-peminat burung yang lain.

Dalam pada itu, Nasir menjelaskan, burung murai batu merupakan spesies yang dilindungi dan untuk membela atau membiak haiwan tersebut memerlukan kebenaran atau permit daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) terlebih dahulu.

Untuk tujuan tersebut, dia juga telah memohon dan memiliki permit pembiakan dalam kurungan komersial dan juga lesen menyimpan hidupan liar dilindungi yang dikeluarkan oleh Perhilitan.
Daripada sekadar memelihara burung murai batu, kini Nasir bersama sahabatnya, Ghazali Mohd. Amin, 58, mengambil keputusan untuk membiak haiwan tersebut.

Nasir menjelaskan, burung murai batu atau nama saintifiknya Copsychus malabaricus memiliki peminatnya yang tersendiri di rantau Asia Tenggara dan terdapat pertandingannya sendiri.

“Pencinta burung ini di negara seperti Singapura, Vietnam dan Indonesia juga telah lama membiak burung ini.

“Oleh itu, saya juga mengambil keputusan untuk membiaknya bagi mendapatkan burung yang lebih cantik,” katanya.

 

GHAZALI menggunakan peralatan khas untuk menyuap makan burung murai batu dengan dedak bagi memastikan burung itu dapat membesar dengan sihat.

 

Tambahnya, burung murai batu yang mempunyai ekor panjang dan mempunyai gaya gerak tari dan suara yang bagus sering menjadi dambaan pencinta haiwan tersebut.

Dalam pada itu, bagi mendapatkan burung murai batu yang cantik melalui proses pembiakan, semestinya memerlukan induk yang cantik.

“Saya pernah mendapat induk burung ini yang cantik dan rasa rugi jika tidak membiaknya. Dari situ saya mengambil keputusan untuk mula membiak burung ini sekitar tahun 2014.

“Tetapi saya tidak memiliki kepakaran untuk membiak dan mendapatkan hasil. Setelah mengenali Ghazali yang memiliki pengetahuan untuk membiak burung ini kami mengambil keputusan untuk bekerjasama pada tahun 2017,” jelasnya.

Tambahnya, dia akan menggunakan kemahirannya untuk memikat burung murai batu yang cantik dan kemudian rakannya itu akan membantunya membiak haiwan berkenaan.

Untuk membiak burung murai batu bukanlah sesuatu yang mudah kerana sifat semula jadi haiwan tersebut yang liar.

Nasir menjelaskan, untuk membiak haiwan tersebut, seseorang itu perlu memahami akan cara hidup dan sifat burung itu terlebih dahulu.

Menurutnya, jika burung dewasa yang dipikat di dalam hutan dia memerlukan masa minimum hampir tiga tahun untuk dibiakkan.

“Burung ini adalah agresif dan sensitif. Jika tidak kena cara, apabila dibawa balik ke rumah ia akan mati.

 

 

ANAK-ANAK burung murai dipisahkan daripada ibunya selepas lapan hari.

“Oleh itu kita perlu menjinakkan dan membiarkan burung ini berasa selesa terlebih dahulu dan perkara ini memerlukan tempoh masa,” katanya.

Disebabkan itu, Nasir lebih gemar untuk mendapatkan anak burung murai batu jika masuk memikat di dalam hutan kerana lebih mudah untuk dibiakkan.

Berdasarkan pengalamannya, Nasir menjelaskan, biasanya jika diambil umurnya masih kecil, burung itu hanya memerlukan masa sekitar 10 bulan untuk dijadikan induk bagi proses membiak.

“Ini kerana haiwan ini masih belum mengenal habitat hutan. Jika diambil dari kecil, burung ini akan lebih mudah dijinakkan untuk dibiak.

“Tetapi kekurangannya ialah kita tidak akan mengetahui tahap kecantikan burung ini kerana ia diambil di waktu umur yang masih kecil,” jelasnya.

Bagi membiak burung murai batu juga bukanlah mudah terutamanya dalam mengatur proses mengawan antara burung jantan dengan betina.

Burung itu perlu benar-benar serasi dan barulah kedua-duanya akan mengawan.

“Untuk membiarkan haiwan ini mengawan saya akan melepaskan burung betina terlebih dahulu di dalam ladung atau reban khas yang dibina. Kemudian saya akan membawa masuk sangkar berisi seekor burung jantan dan turut diletakkan di dalam ladung tersebut.

“Kita akan melihat interaksi antara burung jantan dan betina itu. Jika burung betina sudah mula tidur di atas sangkar burung jantan, itu tanda mereka dah mula serasi. Kebiasaannya pada hari keempat atau kelima, kita akan lepaskan burung jantan itu dari sangkar bagi membolehkannya mengawan,” jelas Nasir.

Namun setelah dilepaskan, pemerhatian perlu dilakukan untuk melihat sama ada kedua-dua burung itu akan bergaduh atau burung jantan akan memujuk burung betina untuk mengawan.

Jika tidak serasi, burung betina akan mati bergaduh dengan burung jantan.

 

MUHAMMAD NASIR memiliki permit pembiakbakaan diperolehi daripada Perhilitan.

 

Oleh itu, keserasian kedua-dua burung amat penting untuk proses mengawan.

Setelah berjaya mengawan, burung betina akan terbang ke sarang dan dua hari kemudian akan mula bertelur.

Burung betina akan mengeram telur itu untuk tempoh 10 hingga 12 hari sehingga menetas.
Setelah menetas anak burung itu akan dibiarkan bersama dengan ibunya selama lapan hari sebelum dipisahkan.

“Selepas lapan hari kita akan ambil burung ini dan akan memberinya makanan. Ini penting bagi membolehkan ibu burung tersebut untuk terus bertelur,” jelas Nasir.

Setiap anak burung murai batu yang menetas dan berjaya hidup akan direkodkan kelahirannya untuk rujukan Perhilitan jika dijual.

Burung murai batu yang dibiak oleh Nasir turut dijual kepada peminat-peminat haiwan tersebut.

 

BURUNG murai jantan dan betina cuba disatukan di dalam reban khas atau ladung untuk mengawan bagi membolehkan proses pembiakan dilakukan.

 

Dalam pada itu, bagi Ghazali pula, dia mengambil keputusan untuk membiak burung tersebut sebagai satu usaha konservasi.

Menurutnya, umum mengetahui bahawa burung murai batu ini dilindungi dan lesen yang dikeluarkan oleh Perhilitan untuk memelihara burung ini juga terhad.

Burung murai batu sebenarnya mendapat permintaan yang tinggi di pasaran oleh pencinta haiwan itu.

“Saya fikir salah satu sumbangan dalam mengekalkan spesies burung ini adalah dengan membiaknya. Jika kita berjaya membiaknya dan mendapat burung yang cantik, maka tidak ramai akan memikatnya di dalam hutan.

“Oleh itu, melalui kaedah ini sedikit sebanyak dapatlah menghalang daripada berlakunya kepupusan burung spesies ini yang terdapat di dalam hutan,” terangnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN