fbpx

Gergasi Merah rancang tiga aksi persahabatan sebelum 5 Mac

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PARA pemain skuad Gergasi Merah giat menjalani latihan sambil dipantau barisan kejurulatihan Selangor di Padang Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Shah Alam semalam. – FARIZ RUSADIO

SELEPAS sesi latihan pramusim kembali dibenarkan berlangsung bermula semalam, Sela­ngor FC mula merancang untuk mengadakan tiga perlawanan persahabatan sebelum tirai Liga Malaysia (Liga M) dibuka secara rasmi pada 5 Mac depan.

Ketua jurulatih Selangor, Karsten Neitzel mengakui pasukannya perlu mengadakan persiapan rapi bagi mengharungi saingan musim ini meskipun tempoh latihan pramusim hanya berbaki tiga minggu.

Kata Neitzel, kelonggaran yang diberikan oleh Majlis Ke­selamatan Negara (MKN) untuk membenarkan pasukan menjalani latihan intensif sudah cukup menggembirakan meskipun masih lagi berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya pasti setiap jurulatih perlu merancang setiap sesi latihan dengan cermat dan teliti, supaya para pemain akan mendapatkan momentum dan kecergasan yang diharapkan.

“Meskipun tempoh kurang daripada tiga minggu untuk persiapan, saya kekal positif dan cuba sedaya upaya memperhalusi strategi untuk memanfaatkan setiap sesi latihan sebaik mungkin.

“Mengenai persiapan, Sela­ngor turut merancang tiga perlawanan persahabatan sebelum perlawanan liga pertama bermula bagi membentuk kesefahaman pasukan.

“Pada masa sama, kita perlu memastikan bahawa pemain tidak mendapat sebarang kecederaan sebelum liga bermula,” kata pengendali import kelahiran Jerman itu dalam satu kenyataan semalam.

Sebagai rekod, skuad Gergasi Merah telah membuat persiapan rapi untuk mengharungi kempen Liga M musim ini apabila merekrut penyerang berbisa negara, Shahrel Fikri Md. Fauzi dan pemain import dari Switzerland, Oliver Buff.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI