fbpx

Dikompaun buang sisa busuk kolam ikan keli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kolam ikan keli ketika pemeriksaan dilakukan di lokasi oleh penguat kuasa BKSA.

MELAKA – Padah melepaskan sisa kolam ternakan ikan yang berbau seperti telur busuk dan darah ayam ke sebatang sungai, sebuah syarikat penternak keli dikompaun RM12,000, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Norhizam Hassan Baktee, berkata, tindakan kompaun itu telah dilakukan oleh Badan Kawal Selia Air (BKSA) Melaka.

Katanya, serbuan telah dilakukan sepasukan penguat kuasa BKSA di lokasi di Masjid Tanah, Alor Gajah susulan aduan yang dibuat oleh orang ramai berhubung sungai di kawasan itu tiba-tiba mengeluarkan bau busuk sehingga ke pekan.

“Hasil pemeriksaan dijalankan mendapati pihak syarikat telah dengan cuai melepaskan sisa kolam ikan keli tersebut ke sebatang sungai berhampiran.

“Difahamkan sisa kolam tersebut berbau kuat ekoran pengusaha telah menggunakan telur busuk dan darah ayam sebagai makanan ikan dalam kolam berkenaan.

“Disebabkan itu, syarikat terbabit telah dikenakan kompaun sebanyak RM12,000 bagi kesalahan pertama,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Japerun Pengkalan Batu, di Bachang, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah BKSA, Faizah Abdul Rahman.

Jelasnya, tindakan kompaun itu dibuat mengikut peruntukan di bawah Seksyen 39(a) Enekmen Sumber Air (Negeri Melaka).

Mengulas lanjut, Norhizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu berkata, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan tersebut, apatah lagi membabitkan pencemaran sumber air negeri.

“Kita akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pengusaha atau usahawan di negeri ini sekiranya mendapati dengan sengaja menyebabkan pencemaran air dan alam sekitar.

“Saya juga menyeru kepada orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pencemaran sungai untuk membuat laporan kepada pihak BKSA atau pihak bertanggungjawab yang lain,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI